Mohamad Sabu hantar sendiri pakej pertama durian segar Malaysia ke China
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu memaklumkan beliau berkesempatan menyaksikan peristiwa bersejarah ketibaan durian segar pertama dari Malaysia.
Durian itu diterbangkan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Lapangan Terbang Kargo Zhengzhou, Wilayah Henan, China.
“Alhamdulillah hari ini saya berkesempatan menyaksikan peristiwa bersejarah ketibaan durian segar pertama Malaysia di Lapangan Terbang Kargo Zhengzhou, Wilayah Henan, China.
“Saya mewakili Kerajaan Malaysia dan KPKM mengucapkan jutaan terima kasih kepada Kerajaan China, HE Wang Kai (Gabenor Wilayah Henan) serta semua pihak yang telah menjayakan program pada pagi ini,” katanya dalam satu catatan di Facebook.
Walaupun cuaca panas, Mohamad yang juga Presiden AMANAH menyifatkan kesemua jemputan teruja untuk menyaksikan peristiwa bersejarah itu.
Katanya, eksport durian negara dijangka akan melebihi RM1.8 billion menjelang 2030.
“Sama-sama kita doakan agar permintaan durian segar Malaysia terus meningkat setiap tahun agar limpahan pendapatan ini akan turut dirasai oleh segenap rakyat Malaysia,” ujar beliau lagi.
Untuk rekod, sebagai permulaan sebanyak 40 metrik tan (MT) durian segar meliputi jenis Musang King, Black Thorn, D24 dan IOI, dari lapan syarikat pengeksport akan dihantar ke China menerusi tiga fasa.
Fasa pertama adalah sebanyak 15MT, fasa kedua berjumlah 10MT, manakala selebihnya untuk fasa ketiga.
Durian segar itu dieksport ke China susulan pemeteraian Protokol Keperluan Fitosanitari Pengeksportan Buah Durian Segar dari Malaysia ke China, antara Mohamad dan Menteri Pentadbiran Am Kastam China (GACC) Yu Jianhua pada 19 Jun lalu di Putrajaya.
BACA JUGA Port Dickson banjir bukan kerana masalah perparitan