‘Nampak gaya macam ada pemulihan semangat di semua peringkat’
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam optimis Kerajaan Perpaduan berpotensi mencipta satu lagi sejarah kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.
Katanya, selepas kemenangan Barisan Nasional (BN) di DUN Nenggiri, semangat mereka dalam keadaan baik dan berada pada paras yang tinggi.
”Nampak gayanya ada macam pemulihan semangat di semua peringkat.. jadi semua sudah bersedia nak ke DUN Mahkota dan sekali lagi InsyaAllah kalau boleh mencipta kemenangan yang lebih baik,” katanya dalam satu video dimuat naik di Facebooknya.
Dalam video sama, Lokman turut menyentuh mengenai pembahagian kerusi di DUN Mahkota yang akan berlangsung pada 28 September nanti.
Beliau berkata, pemuda dan juga wanita UMNO berhak untuk menuntut kerusi berkenaan.
”Ia disebabkan kerusi itu penyandangnya memang seorang wanita.. mereka lagi berhak untuk menuntut.
”Sesiapa juga berhak untuk meminta supaya mereka diberikan peluang untuk bertanding di DUN Mahkota.
”Tapi akhirnya semuanya InsyaAllah akan akur dengan segala yang diputuskan pimpinan parti dan mereka akan bekerja untuk memastikan kemenangan sesiapa sahaja,” ujar beliau lagi.
PRK Mahkota diadakan susulan penyandangnya Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang.
Pada PRN 2022, Sharifah Azizah yang juga ketua Wanita UMNO Kluang, menang dengan majoriti 5,166 undi menewaskan calon Pakatan Harapan, Muhammad Tagiuddin Cheman, Mohamad Nor Lingan (Perikatan Nasional) dan Mohamed Noor Suleiman (Warisan).
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK Mahkota pada 28 September, manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing 14 dan 24 September.
BACA JUGA Operasi SAR mangsa tanah jerlus mula guna teknik ‘flushing’