Operasi SAR mangsa tanah jerlus mula guna teknik ‘flushing’
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang wanita warga India yang terjatuh dalam tanah jerlus di Jalan Masjid India, kelmarin akan mula menggunakan teknik ‘flushing’.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif, berkata teknik ‘flushing’ adalah menyekat aliran air di lurang kumbahan dan setelah air melimpah, sekatan akan dilepas untuk menghasilkan arus aliran air yang deras.
Menurutnya, teknik itu akan dikoordinasikan oleh pasukan Indah Water Konsortium (IWK) bermula di lurang kumbahan lima berhampiran Agrobank.
“Pihak IWK akan mula menjalankan kerja-kerja ‘flushing’ di hiliran (downstream).
“Mereka juga telah mempunyai pemetaan yang lengkap dan bersetuju untuk menjalankan ‘integrity test’ di kawasan ini,” katanya pada sidang media di lokasi, hari ini.
Beliau berkata, terdahulu pada hari ketiga SAR, hari ini, kerja pencarian semula diteruskan di lurang kumbahan lima berhampiran Agrobank serta lurang kumbahan enam berdekatan Bulatan Kinabalu.
“Hasil pencarian di lurang kumbahan lima dan enam, semalam, mendapati arus air di dua lokasi itu bergerak perlahan seolah-olah ada sekatan atau ‘debris’.
“Sehubungan itu, pasukan SAR melakukan pencarian semula di lurang kumbahan lima dan enam, hari ini, bagi memastikan tiada apa-apa yang tersangkut.
“Namun, selepas selesai kerja pencarian di kedua-dua lurang kumbahan itu hingga jam 5.30 petang tadi, didapati negatif (tiada mangsa ditemui),” jelasnya.
Susulan itu, Maimunah berkata, teknik ‘flushing’ akan mula digunakan bagi membantu pasukan SAR dalam usaha pencarian mangsa.
Beliau sekali gus memaklumkan, operasi SAR akan diteruskan sehingga pasukan penyelamat berjaya menemui mangsa.
“Setakat ini, kita tidak menetapkan sejauh mana pencarian ini. Kita akan meneruskan SAR ini sehingga mangsa ditemukan.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Tinggi India bagi melanjutkan visa keluarga mangsa,” ujarnya lagi.
BACA JUGA Dah dapat anugerah Datuk, Remy Ishak akui tak cari gelaran