‘Bapak ah kena palau’, pemuda dedah perangai orang Korea tapi ini cara betul berkomunikasi
Seorang YouTuber berkongsikan detik-detik kena ‘palau’ atau tidak dipedulikan orang Korea Selatan ketika berkunjung ke negara yang terkenal dengan fenomena K-Pop itu.
Menerusi klip video dikongsinya, Arif Aiman Ahmad kelihatan cuba menegur beberapa orang tempatan semasa berjalan di Everland yang merupakan taman tema terbesar di Korea Selatan.
“Annyeonghaseyo (Hello),” sapanya yang ingin meminta bantuan bertanyakan arah lokasi tetapi tidak dipedulikan masyarakat tempatan.
Namun, mereka dikatakan buat-buat tidak nampak walaupun sebenarnya mereka nampak.
Rata-rata rakyat Malaysia menyifatkan orang Korea umumnya tidak ramah dengan warga asing terutama yang bukan orang kulit putih.
Tidak kurang juga berharap agar peminat tegar K-Pop khususnya remaja dan para gadis Malaysia celik akan perangai sombong bangsa tersebut.
Selain itu, ada yang secara sinis berkata, warga Korea yang datang ke Malaysia boleh buat duit melimpah ruah melalui saluran YouTube lantaran mendapat sokongan luar biasa rakyat Malaysia.
“Orang Malaysia sokong je katanya bantu naikkan imej Malaysia. Padahal, hampir 100 peratus penonton orang Malaysia juga,” perli netizen.
Walau bagaimanapun, seorang pelayar YouTube, @bellicose76 berkongsikan cara untuk berkomunikasi dengan orang Korea Selatan hasil pengalamannya yang sudah lebih lapan kali berkunjung ke negara itu.
Mengakui sebahagian penduduk tempatan bersikap rasis namun beliau memberitahu budaya masyarakat di sana adalah cuba untuk mengelak berkomunikasi dengan orang asing.
Sikap itu, jelasnya, ketara jika orang asing itu diketahui tidak fasih berbahasa Korea memandangkan mereka sendiri sebahagian besarnya tidak mahir berbahasa Inggeris.
Oleh itu, katanya, jika berkunjung ke lokasi seperti Everland, pengunjung digalakkan bertanyakan terus kepada kakitangan taman hiburan di situ yang kelibat mereka mudah dicari.
Selain itu, ujarnya, gantikan ucapan annyeonghaseyo itu kepada “sillye-hamnida” bagi mengelak salah faham kepada masyarakat di sana.
“Maksudnya excuse me. Jadi, mereka tahu kita nak minta tolong. Anyeonghaseyo ni dia mungkin ingat kita nak meminta sesuatu daripada mereka.
“Juga, elakkan bertanya kepada pasangan yang sedang dating atau keluarga dengan anak kecil sebabnya mereka selalunya lebih melindungi.
“Saya selalu cuba mendekati mereka yang berkawan berkumpulan,” tambahnya lagi.
BACA JUGA Elok pula UAI cakap berlapik pasal konsert di Kota Bharu