Isu ‘kutty’: Mahathir hadir ke mahkamah kes saman Zahid

Tun Dr Mahathir Mohamad tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bagi memberi keterangan dalam kes samannya terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung isu ‘kutty’.

Ditemani isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, bekas Perdana Menteri dua kali itu mengenakan kot berwarna hitam.

Anak lelakinya, Datuk Seri Mukhriz turut mengiringi bekas Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) berkenaan.

Mahathir yang menyambut hari lahir yang ke-99 pada bulan lalu tiba pada jam 9.38 pagi dan disapa penyokongnya yang berkumpul di lobi mahkamah sejak awal pagi.

Perbicaraan hari pertama di hadapan oleh Pesuruhjaya Kehakiman (JC), Gan Techiong, berlangsung pada jam 10 pagi.

Prosiding berkenaan tertangguh beberapa kali, selepas Dr Mahathir tidak sihat dan dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) kerana mengalami masalah pernafasan.

Menurut pernyataan tuntutan yang difailkan pada 20 Julai 2022, Mahathir mendakwa Ahmad Zahid, 71, telah mengeluarkan kenyataan memfitnah terhadapnya semasa mesyuarat UMNO Bahagian di Kelana Jaya pada 30 Julai 2017.

Mahathir percaya, individu yang dirujuk Presiden UMNO selaku defendan, dalam kenyataan fitnah sebagai ‘orang itu’, ‘dia’ dan ‘Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty’ jelas merujuk kepadanya secara spesifik.

Susulan itu, bekas Ahli Parlimen Langkawi tersebut berkata, kedudukannya sebagai seorang negarawan dan tokoh politik yang berpengaruh di mata dunia dipandang serong.

Bekas Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu mendakwa, kenyataan fitnah Zahid secara tersirat memberi maksud kredibilitinya untuk memimpin negara dan parti yang mengutamakan orang Melayu secara keseluruhan, dipersoal dan diragui.

BACA JUGA Elok pula UAI cakap berlapik pasal konsert di Kota Bharu