Mohamad Sabu lancar penjualan durian Malaysia di pasaraya Shenzen
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu hari ini melancarkan jualan durian Malaysia di Sam’s Club dan Ole’ Supermarket bertempat di Shenzhen.
Menurut KPKM, hari ini merupakan hari pertama penjualan raja buah itu di pasaraya berkenaan.
Katanya, berdasarkan pemerhatian, durian segar Malaysia berada dalam segmen buah premium di mana harga purata jualan durian segar Malaysia adalah jauh lebih tinggi daripada buah durian yang diimport daripada Filipina dan Thailand.
”Sam’s Club dan Ole’ Supermarket adalah antara saluran peruncitan bagi jualan durian segar Malaysia.
”Sam’s Club mempunyai 40 pasar raya dan Ole’ Supermarket mempunyai 130 pasar raya di China.
”Pemasaran durian segar ini dilaksanakan melalui inisiatif swasta iaitu di antara syarikat pengeksport dan pengedar, manakala pihak KPKM pula berperanan sebagai pemudahcara.
”Pelan pemasaran ini adalah satu bukti bahawa pelaksanaan keseluruhan inisiatif pengeksportan durian segar ini dijalankan melibatkan keseluruhan rantaian nilai dalam industri durian,” kata kementerian itu menerusi kenyataan hari ini.
Melalui inisiatif berkenaan, KPKM menganggarkan nilai eksport durian segar secara keseluruhan akan meningkat kepada RM1.8 bilion menjelang 2030.
Untuk rekod, durian Musang King yang dihantar pada 24 Ogos lalu telah dipasarkan di Shenzhen bermula hari ini oleh syarikat pengedar Joy Wing Mau (JWM) di rangkaian peruncitan di sekitar Shenzhen.
JWM merupakan salah satu syarikat pengedar yang mengedarkan durian segar Malaysia di China yang mempunyai pelbagai rangkaian peruncitan.
Terdapat lebih 50 rangkaian pasaran borong, lebih 1,000 pasar raya dan 6 rangkaian e-dagang terkemuka di China yang merupakan saluran pemasaran JWM.
BACA JUGA Nahas tanah jerlus: Misi SAR diteruskan hingga mangsa dijumpai