Bukan calang-calang, Jungle Girl mampu raih RM1 juta di TikTok dalam seminggu
Siapa sangka dengan hanya berbekalkan telefon bimbit dan tripod, wanita Orang Asli etnik Jahut iaitu Nur Rafidah Man berjaya meraih pendapatan lebih RM 1 juta.
Lebih mengagumkan, pendapatan yang diperolehi Rafidah menerusi aplikasi di atas talian iaitu TikTok itu berjaya dikumpulnya hanya di dalam tempoh seminggu sahaja.
Tangkap layar jumlah pendapatan akaun TikTok dimiliki pengeluar produk Jungle Girl yang mencecah jutaan ringgit itu dikongsikan oleh seorang pengguna platform X menerusi satu ciapan tular.
Berdasarkan perkongsian tersebut, gadis berusia 26 tahun itu dipercayai menjana pendapatan berjumlah RM1.04 juta dengan 29,720 barang terjual menerusi akaun TikTok miliknya.
Pelayar X itu turut memuat naik gambar Rafidah ketika membuat siaran langsung untuk membuktikan bahawa mereka yang tidak mililiki peralatan canggih juga boleh meraih keuntungan lumayan.
Tinjauan mendapati rata-rata pengguna turut berkongsi rasa kagum dengan pencapaiannya yang mampu meraih jutaan ringgit tanpa peralatan canggih mahupun studio moden.
Beberapa individu juga berkongsi pendapat bahawa sikap Rafidah yang bersahaja dan tampil ‘ikhlas’ ketika bersiaran langsung membuatkan orang ramai tertarik kepadanya.
Mereka yang pernah mencuba produk Jungle Girl juga tidak melepaskan peluang untuk meninggalkan komen dengan mengatakan keberkesanan minyak tradisional keluarannya itu.
Sekadar info, wanita yang tinggal di Kampung Penderas, Kuala Krau, Temerloh, Pahang itu mula meniaga di TikTok sejak November lalu dengan menghasilkan produk sendiri berasaskan sumber hutan seperti kacip fatimah, tongkat ali dan madu.
Rafidah turut menyertai program ‘affiliate’ melibatkan aktiviti promosi dan jualan secara langsung produk lain seperti makanan, penjagaan kulit dan sebagainya untuk meraih komisen sampingan di platform berkenaan.
BACA JUGA Wan Fayhsal malu, padam komen di IG Dr Maza lepas kena sekolah