Dakwaan tidak turun ke lokasi tanah jerlus: Ini penjelasan Dr Zaliha

Dr Zaliha Mustafa berada di Kuching, Sarawak ketika menerima maklumat berhubung nahas tanah jerlus membabitkan seorang warga India di ibu negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) berkenaan berkata, sejurus pulang ke Kuala Lumpur, beliau melawat lokasi kejadian sehari selepas insiden itu.

“Saya juga berhubung secara langsung dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur (Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif) untuk mendapatkan input terkini dan juga Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia B.N. Reddy untuk memaklumkan perkembangan berkaitan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi libat urus inisiatif Belanjawan 2025 bersama pihak berkepentingan Kuala Lumpur dan Putrajaya hari ini.

Menurutnya, dakwaan itu tidak seharusnya timbul selain mengingatkan sebarang isu yang dibangkitkan perlu bersekali dengan fakta.

Hari ini, operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, yang terjatuh ke dalam lubang sedalam lapan meter itu memasuki hari kelima.

Usaha pencarian diteruskan dengan menumpukan kawasan titik akhir di loji Pantai Dalam.

Walau bagaimanapun, operasi SAR itu ditangguhkan sementara sejak jam 7.30 malam tadi akibat cuaca hujan lebat di lokasi.

BACA JUGA Pas sembang ‘terpaling’ ahli geologi, air Kelantan berpuluh tahun pun tak selesai