Ganasnya dikejar parang hingga ke Hospital Jasin, nasib pemuda ditetak mengerikan
Rakaman video tular yang didakwa pergaduhan di Hospital Jasin, Melaka rupanya bermula dari hadapan sebuah kedai gunting rambut, di Taman Rim Baru, Jasin pada 25 Ogos lalu.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintenden Ahmad Jamil Radzi berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu berpunca daripada pemuda berusia 24 tahun yang ditetak di hadapan premis kedai itu oleh sekumpulan lelaki bersenjatakan parang.
Menerusi kenyataan semalam, beliau memberitahu dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, kumpulan lelaki bertopeng terbabit turut mengejar mangsa hingga ke Hospital Jasin.
Semakan Harapandaily mendapati jarak antara kedua-dua lokasi itu sejauh 4 km.
Jelas Ahmad Jamil, mangsa dikatakan sempat menghubungi adik lelakinya yang kemudian bergegas membawanya ke hospital untuk mendapatkan rawatan kecemasan.
“Mangsa sempat diturunkan di jabatan kecemasan hospital berkenaan sebelum kenderaan dipandu adiknya itu ditahan oleh sebuah kenderaan lain.
“Sekumpulan lelaki keluar dari kenderaan berkenaan dan bertindak memecahkan cermin kereta mangsa sambil membawa sebilah parang.
“Adik mangsa itu cuba melarikan diri sehinggakan kereta dipandunya terlanggar sebuah ambulan dan mengalami kerosakan serta kemek di bahagian bawah lampu sebelah pemandu,” ujarnya.
Ahmad Jamil berkata, lelaki berusia 22 tahun itu terus memecut kenderaannya menuju ke Ibu Pejabat Polis Daerah (Jasin) IPD yang terletak kira-kira 3 kilometer dari Hospital Jasin dan bertindak melaporkan insiden berkenaan kepada pihak polis.
“Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan pada jam 10.15 malam manakala adiknya tidak mengalami sebarang kecederaan,” menurut kenyataan itu.
Susulan itu, pihak polis berjaya menahan tiga suspek berusia 21,22 dan 31 tahun mengikut Seksyen 302 kanun keseksaan kerana menyebabkan kematian.
Beliau berkata, polis masih giat mengesan beberapa lagi individu lain yang dipercayai terlibat dalam kejadian itu.
Sehubungan itu, tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh berhubung dengan pegawai penyiasat di talian 016-5209501 atau menghubungi IPD Jasin di talian 06-529 2222.
BACA JUGA Tular dakwaan kes gaduh di Hospital Jasin, seorang ditetak, ambulans rosak