Gempar mayat terbakar dekat KTM Serdang, ini identiti yang sudah dikenalpasti

Kawasan sekitar Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) Serdang hari ini digemparkan dengan penemuan mayat seorang lelaki dengan kesan terbakar pada badan.

Ketua Polis Daerah Serdang ACP AA Anbalagan berkata, mangsa dipercayai warga Indonesia berusia 43 tahun, dikenali sebagai Udikalifan mengikut dokumen yang dijumpai di lokasi kejadian.

“Polis menerima laporan pada 11.45 pagi tadi mengenai penemuan mayat berkenaan oleh seorang wanita tempatan, di dalam semak selepas terowong pusingan U berhampiran KTM Serdang.

Mayat dijumpai dalam semak selepas terowong pusingan U berdekatan KTM Serdang.

“Tiba di lokasi, didapati mayat dalam keadaan terbakar tetapi tidak rentung sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jelasnya, mayat dihantar ke hospital untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

“Polis juga sedang mendapatkan pengesahan identiti mayat berkenaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan orang hilang diminta hadir ke balai polis berhampiran untuk membantu siasatan,” katanya lagi.

BACA JUGA Dakwaan tidak turun ke lokasi tanah jerlus: Ini penjelasan Dr Zaliha