KL didakwa dibina atas gua kosong, siapa pula ahli geologi Dr Sarah dari UM?

Kecoh di media sosial apabila seorang pakar geologi yang didakwa dari Universiti Malaya (UM) mendedahkan satu kajian mengenai gua kosong besar yang didakwa wujud di bawah Kuala Lumpur.

Berita mengenai gua di bawah KL itu menjadi topik perbincangan ramai.

Namun dalam satu kenyataan semalam, UM tampil menafikan artikel yang kononnya ditulis oleh pakar geologi universiti berkenaan.

Ketua Jabatan Geologi Fakulti Sains UM, Prof Madya Dr Meor Hakif Amir Hassan berkata, artikel itu didakwa ditulis seorang ahli geologi terkemuka dari UM bernama Sarah Jamal

“Bagaimanapun, tiada ahli geologi bernama Sarah Jamal yang berkhidmat di UM.

“Malah, senarai daftar Lembaga Ahli Geologi Malaysia juga tiada nama itu didaftarkan,” kata kenyataan yang disiarkan di Facebook rasmi, hari ini.

Menurut kenyataan, kandungan artikel itu adalah palsu dan tidak berdasarkan fakta.

Katanya, staf Jabatan Geologi UM mengambil langkah berhati-hati mengulas berkenaan insiden di Jalan Masjid India memandangkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dan penyiasatan oleh pihak berkuasa masih berjalan.

“Punca kejadian itu juga masih tidak dipastikan,” katanya.

Pada Jumaat lalu, Vijayalakshmi, 48, berasal dari Andhra Pradesh, India, terjatuh dalam lubang tanah jerlus ketika sedang berjalan dari arah Selangor Mansion menuju ke Wisma Yakin, 8.25 pagi.

BACA JUGA Tiada kelibat pemimpin Pas di Mahkamah Gua Musang