Tiada kelibat pemimpin Pas di Mahkamah Gua Musang

Pas seolah-olah menjauhkan diri dari Tan Sri Mahiaddin Md Yassin yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Gua Musang hari ini atas isu mempertikai kewibawaan Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Ia selepas tiada seorang pun pemimpin dari parti itu hadir menyatakan sokongan kepada Mahiaddin.

Hanya pemimpin tertinggi Bersatu yang dilihat hadir antaranya Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Ketua Penerangan, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, dan Naib Presidennya, Datuk Dr Radzi Jidin.

Turut dilihat Ketua Pemuda Bersatu, Wan Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Mahiaddin menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948, susulan ceramahnya yang didakwa menyentuh isu raja, agama dan kaum (3R) pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, awal bulan ini.

Lebih 300 laporan polis terhadap Mahiaddin telah dibuat, termasuk laporan dari Istana Pahang sendiri.

Pendakwaan hari ini menjadikan beliau bekas Perdana Menteri pertama yang dituduh mengikut peruntukan undang-undang berkenaan.

Sebelum ini Tengku Hassanal dilaporkan murka dan amat terkilan terhadap tindakan Mahiaddin yang secara sengaja dan sinis memperlekeh dan mempertikaikan tugas serta peranan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16.

Menerusi kenyataan dikeluarkan Istana Abdulaziz, Tengku Hassanal mahu Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap Mahiaddin yang secara sengaja menyentuh sentimen 3R (raja, agama dan kaum).

Dilaporkan, tujuh orang peguam akan disediakan mewakili Presiden Bersatu itu.

BACA JUGA Sentuh kewibawaan Agong ke-16: Mahiaddin dituduh di mahkamah hari ini