Patutlah Mahiaddin di Gua Musang hari ini

Bakal menghadapi pertuduhan mengikut Akta Hasutan di Mahkamah Gua Musang hari ini, Tan Sri Mahiaddin Yassin,77, sedang menerima akibat daripada ceramah kontroversinya yang menyentuh isu 3R (Raja, agama dan kaum).

Susulan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri lalu, Mahiaddin disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 504 Kanun Keseksaan.

Semua itu berlaku lantaran Mahiaddin tidak sudah-sudah membangitkan jumlah akuan bersumpah (SD) yang konon dimilikinya sekaligus dilihat mempertikai kewibawaan Yang di-Pertuan Agong ke-16 melantik Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10 pada November 2022 lalu.

Sebelum ini, kertas siasatan berhubung ucapan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) merangkap Presiden Bersatu itu sudah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, dilaporkan berkata, polis sudah mengambil keterangan 66 saksi bagi membantu siasatan.

Terdahulu, tular di media sosial ucapan bekas Perdana Menteri itu yang dikatakan menyentuh kewibawaan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16.

Lebih menggemparkan apabila pada 19 Ogos, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menzahirkan kemurkaan dan rasa amat terkilan.

Perasaan putera Sultan Pahang itu dizahirkan atas tindakan Mahiaddin yang secara sengaja dan sinis memperlekeh dan mempertikaikan tugas serta peranan Sultan Pahang ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16.

Tengku Hassanal menerusi kenyataan dikeluarkan Istana Abdulaziz mahu Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap Mahiaddin yang secara sengaja menyentuh sentimen 3R.

Mahiaddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh kemudian pada 21 Ogos menyerahkan beberapa dokumen kepada polis sepanjang tempoh sejam memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung kenyataannya itu.

BACA JUGA Ganasnya dikejar parang hingga ke Hospital Jasin, nasib pemuda ditetak mengerikan