Giat perangi skim promosi haji haram, Malaysia dipuji rapi urus jemaah

Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi Dr Tawfiq Fawzan Muhammed Al-Rabiah berkata, kerajaan Arab Saudi sedang giat memerangi skim promosi haji haram dengan kerjasama kerajaan Malaysia.

Dalam sidang media bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar di ibu negara semalam, Dr Tawfiq menekankan kepentingan menggunakan platform rasmi Malaysia dan Arab Saudi sahaja untuk perancangan haji dan umrah bagi memastikan pengalaman haji yang selamat.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia atas pengendalian rapi urusan jemaah haji dan skim latihan yang baik untuk jemaah haji.

“Komitmen anda untuk memastikan ziarah yang lancar dan bermakna untuk warga anda sejajar dengan dedikasi kami untuk memberikan pengalaman terbaik kepada semua pengunjung ke tanah suci,” katanya, lapor Bernama.

Sidang media itu diadakan sempena lawatan rasmi Dr Tawfiq ke Malaysia bermula Isnin hingga Rabu (26-28 Ogos), bertujuan mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara Arab Saudi dan Malaysia.

Dalam masa sama, Dr Tawfiq berkata, kedua-dua negara telah menubuhkan pasukan petugas bersama.

Dua objektif utama penubuhan pasukan itu, jelasnya, untuk melihat kemungkinan meluaskan Inisiatif Jalan Makkah kepada jemaah umrah Malaysia dan untuk mengkaji potensi mengaplikasikan model perniagaan Tabung Haji bagi pengurusan haji di negara lain.

Untuk rekod, musim ibadat haji 1445H/2024 yang berlalu Jun lepas menyaksikan seramai 31,600 jemaah haji Malaysia menyertai kira-kira dua juta jemaah seluruh dunia menunaikan Rukun Islam kelima itu.

Kesemua jemaah haji Malaysia selesai melaksanakan ibadat haji tanpa sebarang perkara yang tidak diingini berlaku, kecuali 14 jemaah haji yang meninggal dunia, manakala dua jemaah haji tidak dapat berwukuf kerana memerlukan rawatan di Hospital Arab Saudi.

BACA JUGA Sah pimpinan Kerajaan Perpaduan sokong calon BN bertanding di PRK DUN Mahkota