Sah pimpinan Kerajaan Perpaduan sokong calon BN bertanding di PRK DUN Mahkota

Mesyuarat Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan malam tadi menyatakan sokongan penuh terhadap calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Johor pada 28 September ini.

Menurut Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, calon yang juga mewakili Kerajaan Perpaduan akan dinamakan BN dalam masa terdekat.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) itu berkata, seluruh jentera parti-parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan terutama BN dan Pakatan Harapan(PH) akan digerakkan sepenuhnya bagi memenangi hati dan sokongan pengundi di DUN Mahkota.

“Selain itu, mesyuarat yang berlangsung tadi memperakui struktur jentera Kerajaan Perpaduan bagi menghadapi PRK N29 DUN Mahkota dengan Datuk Onn Hafiz Ghazi dilantik Pengarah PRK dan Aminolhuda Hassan sebagai Penyelaras Jentera PH,” jelasnya.

Menerusi kenyataan di Facebook malam tadi, beliau berkata, mesyuarat yang berlangsung di Seri Perdana, Putrajaya itu juga membuat beberapa ketetapan iaitu menzahirkan kesyukuran dan mengucapkan tahniah kepada BN kerana memenangi PRK DUN Nenggiri dengan majoriti besar.

Mesyuarat turut menyatakan pendirian dan memandang serius isu-isu mengenai isu agama, bangsa dan raja (3R) dan menegaskan akan menumpahkan taat setia serta terus mempertahankan kedaulatan dan kedudukan Raja-Raja Melayu sebagaimana yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Pada 24 Ogos lalu, UMNO Bahagian Kluang mencadangkan tiga nama untuk dipilih pucuk kepemimpinan parti sebagai calon mewakili BN pada PRK DUN Mahkota.

Ketuanya, Datuk Md Jais Sarday, berkata senarai nama berkenaan dalam kalangan pemegang jawatan dalam UMNO bahagian itu yang dilihat berpotensi untuk menang dalam pilihan raya berkenaan.

PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, yang meninggal dunia pada 2 Ogos lalu.

Ketua Wanita UMNO Bahagian Kluang sejak 1993 itu adalah bekas Ketua Wanita UMNO Johor dan memenangi kerusi DUN Mahkota pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022.

Sharifah Azizah merupakan anak kepada bekas Speaker DUN Johor paling lama berkhidmat, iaitu dari 1978 hingga 1990, Allahyarham Datuk Syed Zain Idrus Shahab Al-Haj.

Pemimpin wanita berkenaan juga adalah ADUN Penawar dari 2018 hingga 2022.

BACA JUGA Dakwaan tidak turun ke lokasi tanah jerlus: Ini penjelasan Dr Zaliha