Hadi ambil iktibar salah dari kisah Abu Dzar
Oleh AHMAD MURSI
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang enggan mohon maaf tuduh ‘PH-UMNO lebih teruk dari Dajal’.
Namun, Hadi menulis artikel dengan memuji keterbukaan sahabat Nabi, Abu Dzar Al-Ghifari dalam menerima teguran Nabi Muhammad SAW.
Ironinya, Hadi tidak pula ambil pengajaran betapa Nabi Muhammad SAW sangat marah dengan sikap menghina sahabat lain yang berketurunan hamba.
Sabda Baginda: “Sesungguhnya kamu (Abu Dzar) masih bersifat Jahiliyyah.”.
Hadi yang sering guna pelbagai istilah dan gelaran haiwan untuk menghina orang lain patut sedar bahawa itu perbuatan terkutuk.
Menghina dan menasihati adalah dua hal yang berbeza.
Ahli Parlimen Marang itu menjadikan kisah ‘Keterbukaan Saidina Umar menerima teguran seorang wanita tua’ untuk menghalalkan dirinya melabel orang lain dengan pelbagai gelaran.
Wanita tua itu adalah wanita yang suaranya didengar oleh Allah hingga turun ayat “𝘘𝘢𝘥 𝘚𝘢𝘮𝘪’𝘢𝘓𝘭𝘢𝘩 – 𝘚𝘦𝘴𝘶𝘯𝘨𝘨𝘶𝘩𝘯𝘺𝘢 𝘈𝘭𝘭𝘢𝘩 𝘵𝘦𝘭𝘢𝘩 𝘮𝘦𝘯𝘥𝘦𝘯𝘨𝘢𝘳 𝘢𝘥𝘶𝘢𝘯 𝘱𝘦𝘳𝘦𝘮𝘱𝘶𝘢𝘯 𝘺𝘢𝘯𝘨 𝘣𝘦𝘳𝘴𝘰𝘢𝘭 𝘫𝘢𝘸𝘢𝘣 𝘥𝘦𝘯𝘨𝘢𝘯𝘮𝘶 𝘮𝘦𝘯𝘨𝘦𝘯𝘢𝘪 𝘴𝘶𝘢𝘮𝘪𝘯𝘺𝘢” (Surah Al-Mujadalah: 1).
Jika Allah pun dengar aduan wanita itu, maka Saidina Umar merendah diri mendengar dengan penuh hormat tegurannya.
Sebenarnya, wanita itu tidak menghina Saidina Umar, tetapi memberikan teguran dengan tertib, berasas dan tanpa melabel. Ini perbezaan besar akhlaknya dan Hj Hadi.
Jika Hadi rmeasakan wajar melabel musuh politiknya sebagai ‘lebih Dajal’, apakah dia akan marah jika rakyat mula melabelnya ‘Bapa Khawarij Negara’, di samping rakyat mengenang ‘Bapa Kemerdekaan Negara’ Tunku Abdul Rahman pada bulan Merdeka ini?
Adakah Hadi boleh bersabar menerima label tersebut ‘seperti mana sabarnya sahabat-sahabat Nabi’, seperti yang disyarah dalam tulisannya hari ini?
Kerana roda dunia ini sentiasa berputar, hari ini Hadi melabel orang lain, suatu hari nanti orang lain pula melabel dirinya.
BACA JUGA Terkejut kena bayar sewa meja hingga RM20, mudah rupanya nak kaya di Sabah