Azli sekolahkan Sanusi, dakwaan terhadap warga pendidik keterlaluan

AMANAH menyelar ucapan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang mendakwa pengarah pendidikan negeri itu melaksanakan agenda politik kepartian kerana menghalang mereka memasuki kawasan sekolah.

Pengerusi Biro Pendidikan dan Perubahan Masyarakat (BPPM), Azli Yusof menegaskan, seorang menteri besar tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan berunsur sangkaan jahat terhadap penjawat awam.

“Seorang Menteri Besar tidak wajar sama sekali menggunakan perkataan ‘mungkin’ sebagai sandaran kepada hujahan dalam perbahasan dalam dewan undangan negeri. 

“Ia jelas berunsur sangkaan jahat, mengelirukan Dewan dan semua yang mengikuti ucapan beliau. Tambahan pula, rakaman ucapan beliau tersebar luas di media sosial, mendapat liputan media arus perdana.

“BPPM amat kesal dengan ucapan beliau yang menjejaskan nama baik dan kredibiliti penjawat awam khususnya warga pendidik yang telah banyak berkorban dan bertungkus lumus menjayakan dasar pendidikan negara selama puluhan tahun tanpa mengira latar belakang kepimpinan tampuk pemerintahan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu Sanusi dalam sidang DUN berkata, kepimpinan negeri itu dihalang daripada memasuki kawasan sekolah mahupun menjalin kerjasama dalam program berkaitan pendidikan.

Beliau mendakwa Kementerian Pendidikan, Menteri Pendidikan dan Pengarah Pendidikan Kedah melaksanakan agenda politik kepartian.

Sementara itu Azli yang juga Ahli Parlimen Shah Alam berkata, beliau yakin sebarang tindakan dan keputusan yang dilaksana oleh mana-mana pegawai kerajaan di Kementerian Pendidikan adalah tertakluk kepada garis panduan dan kelulusan yang dikeluarkan untuk memelihara kelancaran urusan pentadbiran.

Beliau juga menganggap Sanusi bertindak membuat serangan demikian disebabkan khuatir keyakinan penjawat awam terhadap Kerajaan MADANI semakin meningkat.

“BPPM khuatir tindakan Sanusi menyerang Pengarah Pendidikan Negeri Kedah dan Menteri Pendidikan Malaysia disebabkan kebimbangan beliau terhadap keyakinan penjawat awam dan warga pendidik yang semakin meningkat terhadap kepimpinan Perdana Menteri,” katanya lagi.

BACA JUGA Fahmi tak jadi bertanding Presiden KLFA, ini puncanya yang mengejutkan