Tanah jerlus Masjid India, TPM 2 rakam ucapan terima kasih pihak terlibat SAR

Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang wanita India yang menjadi mangsa tanah jerlus di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur.

”Terima kasih saya ucapkan kepada semua yang terlibat dalam operasi SAR.

”Tidak lupa juga kepada pihak media yang telah berkampung di lokasi sejak hari kejadian untuk memastikan laporan terkini dan sahih sampai kepada masyarakat,” katanya dalam satu catatan di Facebook, hari ini.

Selain itu, beliau turut memaklumkan bahawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa; Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa dan Tuan Narendran Maniam turut berada di lokasi kejadian.

Susulan kejadian berkenaan, Fadillah menasihatkan orang awam agar mematuhi arahan pihak bertugas atas faktor keselamatan.

Katanya, segala arahan daripada pihak berwajib harus dipatuhi dan jangan masuk ke kawasan yang tidak dibenarkan.

”Tumpuan kita pada masa sekarang adalah untuk mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dan kita juga kena jaga sensitiviti keluarga mangsa.

”Seterusnya, barulah kita boleh fokuskan untuk audit integriti bagi melihat apa dan di mana puncanya,” ujar beliau lagi.

Pada 23 Ogos lalu, seorang wanita warga India dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter susulan insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India semasa melalui jalan di situ.

BACA JUGA ‘La ni depa tak mau dah USD, depa mahu SD’