Amran Fans ‘mohon maaf’, rupa-rupanya Bachok di Kelantan bukan di USA
Pengendali halaman Facebook Amran Fans membuat permohonan maaf secara terbuka kerana memuat naik video persembahan tarian seorang wanita yang kurang senonoh dengan kapsyen “Bachok, USA”.
Video itu memaparkan seorang wanita berbaju kurung dan bertudung sedang bernyanyi dikir barat sambil menari seperti penyanyi dangdut.
Amran Fans yang terkenal dengan hantaran berbaur ‘troll’, secara sinikal berkata ia akur telah melakukan satu kesalahan iaitu tidak menyebut video itu berlaku pada tahun bila.
Ia juga dengan sinis memohon maaf kerana tersalah mengatakan Bachok itu di USA.
“Setelah beberapa hari Amran meneliti dimana salahnya hantaran Amran itu, akhirnya Amran akur bahawa Amran telah melakukan satu kesalahan
“Ya benar dalam hantaran itu Amran tidak menyebut video itu berlaku semalam, minggu lepas atau bulan lepas. Tak sebut.
“Tetapi Amran tetap ingin memohon maaf kerana Amran berasa Amran telah membuat satu kenyataan yang salah apabila mengatakan bahawa Bachok itu di USA,” kata pengendali laman itu.
Sebelum itu, dalam satu hantaran berasingan, Amran Fans ada memuat naik status, bertanya antara video Anwar Ibrahim janji minyak turun dengan video seorang wanita menari dekat Bachok, USA, video manakah yang lebih lama.
Ia merujuk kepada klip video ucapan Anwar semasa menjadi pembangkang dan mengetuai Pakatan Rakyat berceramah mengenai isu harga minyak semasa.
Ceramah itu dirakam kira-kira 20 tahun lalu dan Pas merupakan sebahagian daripada parti yang bergabung di bawah Pakatan Rakyat.
Klip berkenaan sering digunakan pihak pembangkang untuk mempersenda kerajaan terutama apabila melibatkan isu kos sara hidup dan pengapungan harga minyak.
Terdahulu, Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan, Hilmi Abdullah, menuntut penjelasan Amran Fans berkenaan tujuan dan niat rakaman video itu dimuat naik semula.
Kata Adun Guchil itu, video tersebut memberikan gambaran kurang baik kepada penduduk Bachok dan Majlis Daerah Bachok kerana pihak berkuasa seolah-olah membenarkan persembahan kurang senonoh.
“Sedangkan persembahan wanita sedemikian sudah lama tidak dianjurkan oleh mana-mana pihak bahkan penyanyi wanita tersebut juga sudah lama tidak aktif dalam persembahan sedemikian, dan sudah berhijrah ke arah yang lebih baik,” katanya dalam satu kenyataan.
BACA JUGA Cari salah ‘orang gomen’ guna gambar lama, JPA tegur Harakah, Encik Bakar