Cari salah ‘orang gomen’ guna gambar lama, JPA tegur Harakah, Encik Bakar
Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menegur lidah rasmi Pas iaitu Harakah berkaitan laporan yang diterbitkan bertajuk ‘dah jam 9 pagi seorang pun tiada di kaunter’
Berita diterbitkan Harakah itu memetik ‘posting’ yang dibuat seorang pengguna Facebook bernama Encik Bakar di laman kumpulan ‘B40 Buat Perangai Apa Hari Ni’.
Dalam hantaran itu, individu bernama Encik Bakar memuat naik beberapa gambar yang memaparkan kaunter sedang kosong.
Hantaran itu seolah-olah menunjukkan penjawat awam yang bertugas menjaga kaunter “banyak mengular” atau curi tulang kerana berehat sehingga dua jam.
“Makin ramai kita nampak pegawai kerajaan di pusat beli-belah antara pukul 12 tengah hari hingga 2.30 petang dan 3 hingga 5 petang sekarang, kan?
“Mungkin kerajaan sudah panjangkan sekali waktu rehat selepas kenaikan gaji mereka. Setahu saya, rehat hanya 1 jam dulu,” tulisnya yang kemudian diterbitkan pula portal pro Pas.
Apa yang menjadi pertikaian adalah, gambar yang dikongsikan pada hantaran tersebut dikenal pasti sebagai gambar-gambar lama kaunter pejabat kerajaan yang dirakamkan pada tahun 2022 dan 2023
Susulan itu, JPA menegur berita diterbitkan Harakah agar tidak menggunakan gambar lama yang boleh merosakkan nama kementerian dan jabatan yang terlibat.
“Terima kasih atas keperihatinan rakyat Malaysia. JPA berbangga dengan sikap rakyat Malaysia yang bersungguh-sungguh inginkan pembaharuan dalam perkhidmatan kerajaan.
“Namun begitu, mohon kerjasama untuk menggunakan gambar yang terkini dan mutakhir agar tidak merosakkan nama kementerian dan jabatan terbabit.
“Untuk makluman semua, gambar ini ialah gambar lama pada tahun 2022 dan 2023 yang digunakan semula,” katanya.
Teguran itu dibuat oleh pengendali (admin) laman Facebook JPA yang memberi komen pada perkongsian berita berkenaan di Facebook Harakahdaily.
Pada masa sama, JPA mengundang individu tersebut untuk hadir ke jabatan itu dengan membawa gambar terkini sebagai bukti kukuh untuk diambil tindakan.
“Encik Bakar, anda diundang ke JPA untuk membuat aduan dengan gambar terkini. Kami sedia membantu. Bukti yang kukuh diperlukan untuk tindakan,” kata JPA lagi.
BACA JUGA ‘La ni depa tak mau dah USD, depa mahu SD’