Gara-gara fitnah timbalan pengerusi masjid dalam WhatsApp, peniaga burger didenda RM2,800
Seorang peniaga burger didenda RM2,800 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka hari ini, atas kesalahan memfitnah timbalan pengerusi sebuah masjid menerusi aplikasi WhatsApp, pada 2021.
Dia yang ketika memfitnah merupakan pembantu bilal dijatuhi hukuman itu oleh Majistret Khairunnisak Hassni selepas mengaku bersalah sejurus pertuduhan berkenaan dibacakan terhadapnya.
Khairunnisak menetapkan Muhammad Al-Azi Abd Ghani, 42, dipenjara empat bulan sekiranya gagal membayar denda, namun tertuduh melunaskan bayaran itu.
Mengikut pertuduhan, Al-Azi didakwa memfitnah Mohd Arif Yusa,58, dengan menukar gambar kumpulan WhatsApp Al-Alami MITC kepada ‘Hj Arif Durjana’.
Tertuduh juga menukar gambar kumpulan itu kepada gambar Mohd Arif yang diconteng dengan beberapa ayat:
“aku boleh potong semua orang!!! Kau orang semua kalau nak selamat, kena dengar cakap aku!!! kalau tak kauorang akan aku pecat macam pegawai syarak Masjid MITC tu!!!.”
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Tasik Utama, Ayer Keroh, pada 28 Mei 2021, kira-kira jam 7.30 malam.
Tertuduh yang mengetahui tohmahan itu akan merosakkan nama baik pengadu didakwa mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.
Berdasarkan fakta kes, Mohd Arif menyedari perkara itu ketika membuka kumpulan WhatsApp masjid berkenaan dan mendapati gambar ikon sudah ditukar dengan gambarnya diconteng.
Selepas memeriksa, Mohd Arif mengetahui perbuatan itu dilakukan individu dikenalinya iaitu tertuduh.
Sementara itu, peguam, Muhammad Izzuddin Ab Malek daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan memohon hukuman ringan.
Ini memandangkan tertuduh yang kini berniaga burger sudah insaf atas kesalahan dilakukan dan wajar diberi peluang kedua.
Jelasnya, tertuduh yang sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak juga ada berjumpa dan meminta maaf kepada Mohd Arif atas kesalahan berkenaan.
Timbalan Pendakwa Raya Wardah Isshar memohon hukuman setimpal dikenakan atas kesalahan dilakukan yang mana ketika kejadian tertuduh adalah pembantu bilal dan mangsa adalah timbalan pengerusi masjid.
BACA JUGA ‘Kantoi’ guna gambar keadaan kaunter Air Kelantan: ‘Dah serupa dajjal menipunya’