GST ganti pemotongan subsidi RON95? Ini jawab menteri

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, setakat ini tiada sebarang perbincangan dibuat dalam kerajaan untuk mengembalikan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebagai alternatif untuk menghapuskan subsidi petrol RON95.

Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan ditanya mengenai laporan media antarabangsa kononnya Malaysia sedang melihat untuk melaksanakan semula cukai berkenaan.

“Tak ada, tak ada apa-apa perbincangan (berkaitan GST),” katanya ringkas kepada media selepas menyaksikan raptai penuh sambutan Hari Kebangsaan 2024 di Dataran Putrajaya, hari ini.

Sebelum ini, laporan terbabit yang memetik sumber rapat dengan kerajaan melaporkan bahawa Kabinet Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang berbincang untuk melaksanakan semula GST.

Laporan itu juga menyebut perbincangan untuk melihat kemungkinan mengembalikan GST itu adalah bagi menggantikan pelaksanaan penyasaran subsidi petrol dalam usaha meningkatkan hasil negara.

Menurut laporan terbabit, ia adalah sebagai langkah politik ‘mudah’ dengan mengembalikan GST berbanding melaksanakan penyasaran subsidi yang dilihat sebagai tindakan kurang popular.

Kali pertama GST dilaksanakan di Malaysia pada 1 April 2015 dengan kadar enam peratus.

Namun, GST digantung pada 1 Jun 2018 dan akhirnya dimansuhkan apabila ia digantikan dengan sistem SST bermula 1 September 2018.

Kadar semasa bagi cukai jualan adalah 5 peratus dan 10 peratus manakala kadar cukai perkhidmatan ialah 6 peratus.

BACA JUGA Gara-gara fitnah timbalan pengerusi masjid dalam WhatsApp, peniaga burger didenda RM2,800