Kaut rasuah hingga RM2,500 setiap kepala, 46 pengkhianat negara subahat angkut warga asing

Seramai 46 pegawai penguat kuasa yang menjadi pengkhianat negara disyaki terbabit dengan sindiket membawa masuk warga asing melalui kaunter tertentu.

Ia menerusi modus operandi ‘counter setting’ di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, sindiket terbabit memudahkan laluan masuk tanpa pemeriksaan yang mematuhi prosedur ditetapkan oleh Jabatan Imigresen.

“Terdapat keterangan menunjukkan wujudnya pembayaran wang rasuah dan (penguat kuasa) turut bersubahat dengan pihak ejen.

“Ini menyebabkan warga asing terbabit dapat memasuki negara dengan mudah sebagai pelancong sebelum hilang dan disyaki bekerja tanpa dokumen,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Menurutnya, SPRM menggerakkan Op Setting, hari ini, hasil perkongsian maklumat perisikan antara agensi yang berjaya menahan 13 individu termasuk dua penguat kuasa di KLIA.

“Mereka dipercayai terbabit rasuah membabitkan sindiket yang menggunakan modus operandi sama.

“Kesemua suspek lelaki berusia lingkungan 20-an hingga 50-an itu ditahan dalam operasi di sekitar Lembah Klang dan dibawa ke pejabat SPRM Kuala Lumpur untuk membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata, dua suspek penguat kuasa itu disyaki terbabit dengan perbuatan berkenaan sejak 2016 dengan menerima bayaran rasuah antara RM300 sehingga RM2,500 untuk setiap warga asing yang masuk mengikut kewarganegaraan.

“Turut ditahan adalah sembilan ejen dan dua proksi yang menjadi pemegang aset bagi pihak suspek penguat kuasa.

“Pasukan khas sudah ditubuhkan untuk merakam percakapan pegawai-pegawai penguat kuasa yang disyaki bagi membantu siasatan.

“Kami tidak menolak kemungkinan akan ada tindakan susulan serta tangkapan lain dalam masa terdekat,” katanya.

Jelasnya, hasil serbuan itu turut menyita wang tunai kira-kira RM50,000.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009 dan suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, esok bagi permohonan reman.

Semalam, seorang warga Myanmar yang juga ejen sindiket dituduh di Mahkamah Sesyen Shah Alam mengikut Seksyen 16(b)(B) Akta SPRM 2009 membayar rasuah RM5,650 kepada penguat kuasa Imigresen.

Bayaran itu adalah upah melepaskan kemasukan sembilan warga Myanmar melalui pintu masuk KLIA2 tanpa melalui prosedur ditetapkan.

BACA JUGA Taufan paling dahsyat membadai Jepun, apa khabar rakyat Malaysia di sana?