Taufan paling dahsyat membadai Jepun, apa khabar rakyat Malaysia di sana?
Taufan paling dahsyat tahun ini membadai beberapa kawasan di Jepun menyaksikan tiada rakyat Malaysia sehingga petang tadi dilaporkan terbabit atau terjejas.
Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo, bagaimanapun sedang memantau dengan teliti perkembangan Taufan Shanshan yang melanda Kepulauan Kyushu, pagi tadi.
Menerusi kenyataan hari ini, Kementerian Luar menasihatkan rakyat di kawasan terjejas supaya terus berwaspada dan mengikuti perkembangan serta panduan terkini yang diberikan pihak berkuasa tempatan.
“Taufan Shanshan dijangka bergerak ke arah barat daya Jepun sebelum menuju ke arah utara dan melintasi kawasan pertengahan Jepun seperti Wilayah Kanto (termasuk Tokyo) dalam beberapa hari akan datang,” menurut Kementerian Luar.
Sehubungan itu, rakyat Malaysia yang masih belum mendaftar dan mengemaskini keberadaan serta maklumat mereka amat digalakkan untuk berbuat demikian di https://ekonsular.kln.gov.my.
Mereka yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo di alamat 20-16, Nanpeidai-cho, Shibuya-ku, 150-0036 Tokyo; talian +81-3-3476-3840 atau +81-80-4322-3366 (kecemasan) dan e-mel ke mwtokyo@kln.gov.my atau consular.tyo@kln.gov.my.
Sejak kelmarin, hujan lebat yang dibawa oleh Taufan Shanshan sudah melanda sebahagian besar Jepun dengan pihak berkuasa mengeluarkan tahap amaran tertinggi untuk angin kencang dan ribut.
Taufan itu mendarat sekitar jam 8 pagi (waktu tempatan) dengan tiupan angin sehingga 252 kilometer sejam (km/j), menurut pejabat cuaca.
Memetik Reuters, berjuta-juta penduduk diarah berpindah dari kediaman mereka manakala bekalan elektrik terputus dan kilang-kilang utama terpaksa ditutup.
Sekurang-kurangnya tiga penduduk telah terbunuh setakat ini dengan ramai lagi cedera.
BACA JUGA Jijiknya dijajah cacing parasit, doktor ini kongsi imej imbasan akibat daging babi kurang masak