Jijiknya dijajah cacing parasit, doktor ini kongsi imej imbasan akibat daging babi kurang masak

Tubuh dipenuhi cacing parasit akibat tabiat memakan daging babi kurang masak, dedah seorang doktor dari Universiti Florida.

Dr Sam Ghali berkongsikan imej seorang pesakit yang mempunyai tanda-tanda jangkitan parasit dinamakan sistiserkosis.

Sistiserkosis berlaku apabila larva spesies cacing pita memasuki tisu dan organ manusia seperti otot atau otak.

Ia juga membentuk sista atau ‘cyst’ keras yang berasa seperti ketulan di bawah kulit berdasarkan kepada imbasan perubatan.

Imej imbasan menunjukkan tanda-tanda jangkitan parasit yang dipanggil sistiserkosis.

Menurut Ghali, walaupun tidak menyenangkan, pada kebiasaannya, ia tidak berbahaya kerana sista mengandungi larva cacing itu tidak dapat hidup di luar usus.

Namun, sista boleh menyebabkan masalah jika ia berkembang di dalam otak.

Cacing pita yang menjadi punca jangkitan itu memasuki tubuh manusia melalui telurnya yang didapati dalam daging babi yang kurang masak.

Ia boleh berkembang menjadi cacing pita dewasa di dalam usus manusia tetapi ia tidak mengakibatkan sistiserkosis secara langsung.

Sebaliknya, jelas Ghali, sistiserkosis berlaku apabila orang yang dijangkiti menyebarkan telur cacing pita kepada individu lain melalui najis mereka.

“Adalah sangat penting untuk mengambil perhatian bahawa hanya apabila telur ini dihadam melalui mulut dan menjadi najis, seseorang boleh mengalami sindrom klinikal yang dikenali sebagai sistiserkosis,” kata Ghali di laman X.

Penularan tersebut berlaku terutamanya melalui orang yang dijangkiti tidak mencuci tangan dengan betul selepas menggunakan tandas.

Menurutnya, cacing pita yang membentuk sista hanya terkandung dalam daging babi.

Jelas Ghali lagi, adalah penting tidak memakan daging babi yang tidak dimasak dengan sempurna (orang bukan Islam) dan menjaga kebersihan diri seperti mencuci tangan kerana pembawa sista ini boleh menjangkiti orang lain.

BACA JUGA Gara-gara fitnah timbalan pengerusi masjid dalam WhatsApp, peniaga burger didenda RM2,800