Hasbie kecam 9 institusi pendidikan Cina tolak penyelarasan silibus Bahasa Melayu
Pemuda AMANAH Nasional mengecam sekeras-kerasnya sembilan institusi pendidikan Cina yang menolak inisiatif Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menyelaraskan silibus Bahasa Melayu di sekolah rendah vernakular.
Ketua Pemudanya, Hasbie Muda berkata, keputusan itu adalah satu langkah tidak bertanggungjawab dan mencerminkan sikap yang bertentangan dengan usaha memperkukuh perpaduan nasional melalui bahasa kebangsaan.
Ujarnya, kenyataan Pengerusi Jiao Zong, Cheah Lek Aee, bahawa Bahasa Melayu tidak boleh diajar menggunakan silibus yang sama seperti pelajar Melayu lain kerana ia bukan bahasa ibunda pelajar sekolah Cina, adalah tidak wajar.
“Di Malaysia, penguasaan Bahasa Melayu adalah bahasa pertama dan seharusnya menjadi tanggungjawab bersama, tanpa mengira latar belakang etnik atau bahasa ibunda.
“KPM telah mengambil langkah yang tepat dengan memperkenalkan penyelarasan silibus ini bagi memperkasakan penguasaan Bahasa Melayu dalam kalangan pelajar sekolah rendah vernakular.
“Langkah ini bukan sahaja penting untuk tujuan akademik tetapi juga untuk memupuk perpaduan nasional dan keharmonian antara kaum di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Justeru, Pemuda AMANAH Nasional menggesa agar sembilan institusi pendidikan Cina tersebut menarik balik penolakan mereka terhadap inisiatif ini dan memberikan kerjasama penuh kepada KPM.
Pemuda AMANAH Nasional juga menyeru pihak KPM untuk terus teguh dalam pelaksanaan dasar ini tanpa mengalah kepada tekanan mana-mana pihak.
BACA JUGA TMB mengaku video tarian kurang senonoh di Bachok, memalukan Kelantan