Malaysia mahu masyarakat dunia tegas halang Israel terus mengganas
Malaysia mahu warga dunia mengambil tindakan tegas dan konkrit untuk menghalang rejim Zionis Israel daripada meneruskan genosid, jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Wilayah Palestin.
Kementerian Luar Negeri dalam kenyataan menegaskan bahawa masa untuk kutukan kosong telah berlalu, ketika keganasan Israel di Gaza sudah berlarutan lebih 10 bulan.
Menurut kenyataan kementerian, serangan besar-besaran oleh pengganas Israel ke atas bandar Jenin, Tulkarem, Tubas dan Nablus di Tebing Barat sejak 48 jam lepas, jelas melanggar undang-undang antarabangsa, termasuk undang-undang hak asasi manusia antarabangsa dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Operasi oleh rejim itu di Tebing Barat mengakibatkan kemusnahan dan kematian lebih 600 rakyat Palestin sejak Oktober 2023.
Sehingga kini, rejim Israel masih meneruskan serangan ketenteraan di Tebing Barat, serta pembersihan etnik dan genosid di Gaza, iaitu lebih 40,000 rakyat Palestin syahid.
“Malaysia dengan tegas mengutuk pencerobohan dan kekejaman berterusan oleh rejim Zionis Israel di seluruh Wilayah Palestin di Gaza dan Tebing Barat,” tegasnya.
Sehubungan itu, Malaysia menganggap keputusan Amerika Syarikat (AS) untuk mengenakan sekatan terhadap kumpulan peneroka haram Israel adalah selaras dengan beberapa resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Konvensyen Geneva keempat, dan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa pada 2024.
Malaysia akan terus berpegang teguh dengan komitmen terhadap perjuangan Palestin dan meneruskan usaha ke arah penubuhan Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.
Malaysia juga akan bekerjasama dengan negara yang berfikiran sama untuk kemasukan Negara Palestin ke PBB sebagai anggota penuh.
Dalam perkembangan berkaitan, tidak cukup genosid di Gaza, pengganas Israel semalam melancarkan operasi tentera besar-besaran di Tebing Barat yang diduduki.
Israel mendakwa telah membunuh sembilan pejuang Palestin dalam serangannya di utara Tebing Barat iaitu Jenin, Nablus, Tubas dan Tulkarem.
Kenderaan berperisai juga memasuki dua kem pelarian di Tulkarem serta Tubas manakala tembakan dan letupan dilapor kedengaran pada waktu petang di Jenin.
Malah, Ketua Bulan Sabit Merah Palestin di Tebing Barat, Younes al-Khatib, berkata ambulans turut diserang Israel manakala salah seorang kakitangannya juga dipukul.
Sementara itu, operasi Israel berlaku ‘berdekatan dengan empat hospital’ dan ia ‘dikepung’ sehingga menjejaskan pergerakan pasukan perubatan, menurut Jurucakap Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Stephane Dujarric.
BACA JUGA Kaut rasuah hingga RM2,500 sekepala, 46 pengkhianat negara subahat angkut warga asing