Sehari cuma raih RM20, peniaga di Jalan Masjid India terpaksa tutup kedai

Para peniaga di sekitar Jalan Masjid India terpaksa berdepan kerugian kira-kira 50 hingga 70 peratus dalam hasil jualan susulan insiden tanah jerlus di Masjid India pada Jumaat lalu.

Ada antara mereka terpaksa menghentikan operasi buat sementara waktu bagi mengelakkan kerugian yang lebih besar.

Salah seorang peniaga yang mengusahakan jualan baju jersi, Nadiah Galib berkata dahulu hasil jualan sehari boleh mencecah RM200 tetapi selepas insiden tanah jerlus itu, dia hanya meraih RM20 sahaja.

Disebabkan perniagaannya yang semakin terjejas dengan pengunjung semakin berkurangan, wanita itu berkata dia mungkin terpaksa beralih kepada perniagaan secara atas talian seperti Shoppee dan Lazada buat masa ini.

Bagi seorang pengusaha gerai makan pula, Md Daud Mohd Jonid, dia berkata prestasi perniagaannya semakin merosot dengan hasil jualan susut sehingga 50 peratus selepas insiden malang yang berlaku di lokasi itu.

“Semalam (28 Ogos) jualan saya jatuh hampir setengah (50 peratus), hari ini (29 Ogos) (jualan kami) lagi teruk. Hari-hari biasa jualan saya adalah sekitar RM3,000 lebih sehari, semalam (28 Ogos) saya hanya dapat RM2,000 sahaja.

“Benda (insiden) ini tidak dirancang, tadi saya ada bincang dengan pekerja ingat nak tutup kedai sementara. Pekerja kalau diberi cuti dan tidak bergaji, lama-lama mereka juga tidak tahan dan akan mencari kerja lain untuk terus hidup,” katanya memetik laporan Bernama.

Md Daud yang sudah berniaga hampir 28 tahun di kawasan itu berkata antara masalah yang dihadapinya adalah menyediakan upah pekerja harian walaupun operasi perniagaan tidak menguntungkan.

“Satu hari gaji pekerja saya adalah RM700 (kesemua enam orang pekerja), kalau tidak niaga pun saya kena siapkan duit itu, kalau kena pakai duit sendiri, sehari dua okay lagi,” katanya lagi seperti dilapor.

BACA JUGA Hasbie kecam 9 institusi pendidikan Cina tolak penyelarasan silibus Bahasa Melayu