Kejap-kejap isi minyak, terbongkar taktik warga emas seleweng RON95
Tindakan seorang lelaki yang kerap mengisi petrol RON95 di beberapa stesen minyak sekitar Perlis membawa kepada pembongkaran kegiatan menyeleweng bahan api bersubsidi itu.
Menurut laporan, lelaki berusia 50 tahun itu dikesan kerap mengisi minyak sejak beberapa minggu lalu.
Penahanan suspek kelmarin lalu kemudian mendedahkan taktiknya yang mengubah suai tangki minyak pada kenderaan bagi tujuan kegiatan haram itu.
Ketika ditahan, pihak berkuasa menemukan 250 liter petrol subsidi dalam dua tangki minyak yang diubahsuai itu.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDSN) Perlis, Hasbullah Abd Rashid berkata tujuh anggota penguat kuasa melakukan serbuan di sebuah stesen minyak di Kangar ketika suspek mengisi petrol.
“Selain dua tangki tambahan yang diubah suai, pemeriksaan awal turut menemukan dua ‘jerry can’ di dalam kenderaan kereta digunakan suspek.
“Kita percaya suspek mengisi petrol secara berulang di beberapa stesen minyak di negeri ini sebelum menyelewengnya.
“Suspek ditahan bagi membantu siasatan, manakala kenderaan digunakan disita untuk siasatan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.
BACA JUGA Alaa abang bomba dah tak tunjuk bicep, tapi ‘pickup line’ buat ramai cair