Helikopter Black Hawk: Ini tempoh masa diberi MINDEF kepada kontraktor

Kementerian Pertahanan (MINDEF) memberikan tempoh hingga Oktober ini kepada pihak kontraktor untuk membuat penghantaran empat helikopter sewaan UH-60A Black Hawk kepada Tentera Darat Malaysia (TDM).

Menterinya Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kontrak perolehan perkhidmatan sewaan helikopter itu akan dibatalkan sekiranya pihak berkenaan gagal menepati masa yang diberikan.

“Kita beri masa sampai Oktober untuk penghantaran.

“Jika tiada penghantaran, akan batal (kontrak pembekal),” katanya kepada pemberita selepas perasmian My Villa di Dewan Felda Air Tawar 3 di Kota Tinggi hari ini.

Khaled berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan MINDEF berhubung kelewatan penghantaran empat helikopter berkenaan.

Namun, beliau berkata MINDEF masih belum membuat perancangan lanjut jika kontrak perolehan perkhidmatan sewaan empat helikopter itu dibatalkan.

“Perancangan lain akan dibuat selepas pembatalan,” jelasnya, lapor Bernama.

Pada Mei tahun lalu, MINDEF menandatangani kontrak sewaan empat helikopter dengan syarikat tempatan Aerotree Defence and Services Sdn Bhd selama lima tahun bernilai RM187 juta.

Pada 16 Julai lalu, Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari dilaporkan berkata Aerotree Defence and Services memaklumkan peperangan berlarutan di Ukraine menjadi antara punca kelewatan perolehan perkhidmatan sewaan helikopter berkenaan.

Awal bulan lalu, Mohamed Khaled dilaporkan berkata MINDEF sudah mendapat maklum balas daripada Pejabat Peguam Negara (AGC) berhubung cadangan pembatalan kontrak sewaan helikopter Black Hawk untuk TDM.

BACA JUGA ‘Syed’ muncul trending, rakan Da’i dikecam ‘terkelu lidah’