Jualan tiket Pestabola Merdeka terjejas teruk, dahsyat penangan kempen boikot Ultras Malaya

Jualan tiket bagi perlawanan Pestabola Merdeka bermula tidak lama lagi dilapor sangat tidak memberangsangkan apabila dikatakan tidak sampai 1,000 keping tiket dapat dijual.

Situasi tersebut berlaku selepas heboh Ultras Malaya sah ‘memboikot’ kejohanan yang dijadualkan berlangsung pada 4 hingga 8 September ini.

Lapor BH, jualan tiket bagi hampir semua perlawanan yang menampilkan empat pasukan iaitu Harimau Malaya, Filipina, Lubnan dan juara bertahan, Tajikistan itu perlahan, memetik kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Tiket dan Stadium FAM, Datuk Posa Majais.

Posa Majais

Menurut Posa, beliau tidak menolak kemungkinan faktor itu berpunca daripada tindakan boikot yang dilakukan segelintir pihak sehingga menyebabkan penyokong tidak berminat untuk menyaksikan perlawanan itu secara langsung.

“Jika diikutkan sememangnya jualan tiket tidak sampai 1,000 keping sehingga semalam,” katanya.

Beliau yang Naib Presiden FAM berkata, pihaknya sudah melakukan pelbagai cara untuk mempromosikan jualan tiket supaya penyokong hadir ke Stadium Nasional Bukit Jalil.

“Skuad Harimau Malaya memerlukan sokongan pemain ke-12. Sokongan anda cukup penting dalam memastikan pasukan kebangsaan memperoleh keputusan positif.

“Pemain berjuang demi negara dan janganlah biarkan mereka keseorangan di atas padang tanpa sorakan penyokong,” tambah Posa lagi.

Awal bulan lalu, banyak pihak dikatakan tidak berpuas hati khususnya peminat setia bola sepak kebangsaan apabila FAM membenarkan ketua jurulatih, Kim Pan-gon meletak jawatan bulan lalu walaupun masih memiliki kontrak hingga 2025.

Menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook pada 8 Ogos lalu, Ultras Malaya mengesahkan akan tutup ‘curva’ yang sebelum ini cukup gah dalam menaikkan aura Stadium Nasional Bukit Jalil.

“Sakit dan terus sakit. Biar je jangan diubat. Kosongkan Stadium! Tutup Curva Pestabola Merdeka! #ResetBolasepakMalaysia,” kata Ultras Malaya menerusi hantaran itu.

Pan-gon sebelum ini dianggap ‘wira’ bola sepak tanah air apabila berjaya membantu pasukan layak secara automatik ke kejohanan Piala Asia 2023 di Qatar pada Januari lepas.

Walau bagaimanapun, Pan-gon membuat keputusan mengejut untuk meletakkan jawatan serta-merta selepas gagal membantu Harimau Malaya melepas kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 dan memilih untuk mengemudi kelab Korea Selatan.

BACA JUGA ‘Syed’ muncul trending, rakan Da’i dikecam ‘terkelu lidah’