PN “tak faham” mengapa perlu isytihar harta, apa kata Mahfuz?
Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar tidak faham mengapa Takiyuddin Hassan dan PN berasa pelik apabila Putrajaya menegaskan keperluan ahli parlimen membuat pengisytiharan harta sebagai salah satu keperluan memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan kerajaan.
Bekas Ahli Parlimen Pokok Sena berkenaan berkata, amalan tersebut bukanlah sesuatu yang aneh kerana ia sudah dipraktikkan sebelum ini, khususnya selepas PRU ke-14 pada 2018.
“Saya lebih pelik kenapa Takiyuddin tidak boleh menerima syarat pengisytiharan harta tersebut.
“Ia telah dilaksanakan oleh kerajaan pimpinan Dr Mahathir Mohamad pada 2018 dan beliau adalah orang yang sama dilantik oleh PAS dan PN menjadi ketua Panel Penasihat SG4,” katanya, memetik Malaysiakini hari ini.
Mahfuz yang juga pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang menambah ketika Mahathir menjadi perdana menteri kali kedua, Parlimen mengeluarkan pekeliling hasil daripada kewujudan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional.
Menerusi dasar itu, kata Mahfuz, semua ahli parlimen sama ada kerajaan atau pembangkang perlu mengisytiharkan harta masing-masing.
“Ia diterima baik pada masa itu dan berterusan diamalkan sehingga sekarang.
“Malah ketika mereka (PN) memerintah negara selama 33 bulan dan beliau (Takiyuddin) adalah sebahagian daripada kerajaan, mereka turut mengisytiharkan harta dan menerima pakai sebagai pelan strategi pembenterasan rasuah nasional.
“Kenapa kini ia dipertikaikan pula?” ujarnya lagi.
Terdahulu, Takiyuddin selaku Ketua Whip Ahli Parlimen pembangkang mengesahkan sudah menerima draf MoU daripada kerajaan berhubung pembahagian peruntukan kepada Ahli Parlimen.
Pemimpin Pas itu memberitahu terdapat tujuh syarat yang dinyatakan pada draf berkenaan. Misalnya larangan berkaitan isu 3R, ucapan kebencian, dan hasutan.
“Apa yang kita tak faham ialah mengapa mereka mahu ahli parlimen yang bukan sebahagian daripada pentadbiran mengisytiharkan harta mereka.
“Kami tidak faham perkara ini, kerana perdana menteri sebelum ini hanya memerlukan pengisytiharan harta daripada anggota pentadbiran seperti menteri, timbalan perdana menteri, dan timbalan menteri,” kata Takiyuddin lagi.
BACA JUGA Pembangkang cetus fitnah dari penat lelah anak-anak kita