PRK DUN Mahkota: Wanita UMNO sudah hantar 3 nama calon
Wanita UMNO sudah menyerahkan tiga nama calon kepada pucuk pimpinan parti bagi mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.
Ketuanya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, berkata pergerakan itu sedia menyokong dan membantu memenangkan siapa juga calon BN yang akan dimuktamadkan kelak.
“Kita harapkan yang terbaik dan siapa pun calon yang dinamakan oleh kepimpinan parti, Wanita UMNO akan sokong dan membantu sebaik mungkin untuk memenangkan calon terbabit.
“Kalau sekiranya calon itu daripada Wanita UMNO, kita memang amat alu-alukan sebab kita sudah kemukakan tiga nama, tetapi terserah kepada keputusan kepimpinan (tertinggi) dengan mengambil kira pelbagai faktor, paling penting BN menang di DUN Mahkota nanti,” katanya.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu berkata demikian selepas pelancaran Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak: KASIH Kanak-Kanak Peringkat negeri Perak di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Kelebang, Chemor, di Ipoh hari ini.
Terdahulu, Noraini semasa ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO 2024 bulan lalu menuntut supaya calon mewakili BN pada PRK DUN Mahkota kekal daripada pergerakan itu.
Jelasnya, kerusi itu penting bagi Wanita untuk meneruskan legasi penyandang sebelum ini, Allahyarham Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, yang juga EXCO Wanita, yang menang dengan majoriti lebih 5,000 pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 2022.
Namun, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh juga mengusulkan supaya pemimpin sayapnya di Kluang, Syed Hussein Syed Abdullah dipilih calon pada PRK DUN Mahkota yang dijadual berlangsung 28 September ini.
Susulan itu, Presiden UMNO yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan terdapat perebutan dalaman berhubung calon akan bertanding PRK terbabit, kerana beliau sendiri akan membuat keputusan akhir mengenainya.
BACA JUGA Virus Mpox: Malaysia bakal terima agihan ubat TPOXX