Virus Mpox: Malaysia bakal terima agihan ubat TPOXX
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memaklumkan Malaysia akan menerima segera agihan ubat antivirus Tecovirimat (TPOXX) dan Vaksin MVA-BN bagi virus MPox atau cacar monyet melalui ‘COVID-19 ASEAN Response Fund’.
Menerusi ciapannya di platform X hari ini, beliau berkata, TPOXX diguna dalam rawatan MPox khususnya kepada mereka yang mengalami jangkitan teruk atau yang punya imuniti lemah.
Pada 29 Ogos lalu, Dzulkefly dilaporkan, berkata seramai 3.26 juta pengembara sudah melalui saringan Mpox di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Menurutnya, perkara itu sebagai kesiapsiagaan operasi dan langkah berjaga-jaga bagi menghadapi sebarang situasi berkaitan Mpox.
“Kira-kira 34 kes disyaki Mpox dilaporkan di fasiliti kesihatan dan hasil dapatan ujian berkenaan mendapati semuanya adalah negatif.
“Sejumlah 34 kes yang disyaki dan apabila kita ikuti perkembangan kes ini, dapatannya tiada satu pun yang positif.
“Semuanya negatif, Alhamdulillah. Saya kira situasi ini sangat terkawal dan kita akan lebih berjaga-jaga,” tambahnya lagi.
BACA JUGA Salah buat keputusan betul, ini rupanya musim terakhirnya mendakap Liverpool