Tular dakwaan anggota ‘paw’ duit warga asing, ini reaksi polis PJ

Polis Daerah Petaling Jaya sedang menjalankan siasatan dalaman berhubung video tular yang mendakwa dua anggotanya telah menahan dan mengambil sogokan daripada dua lelaki warga asing.

Menurut maklumat tertera di saluran Telegram Edisi Siasat, dua anggota polis terbabit menahan kedua-dua warga asing itu di Kawasan kuil Sungai Way.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Shahrulnizam Ja’afar berkata Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya mengesan video berkenaan sekitar pukul 5 petang, semalam.

“Paparan video berkenaan mengaitkan dua anggota polis dari IPD Petaling Jaya telah dikatakan menahan dan mengambil sogokan daripada dua lelaki warganegara asing.

‘Pihak IPD Petaling Jaya sedang menjalankan siasatan dalaman untuk mengesahkan hal kejadian yang sebenar,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Shahrulnizam menegaskan pihaknya tidak akan melindungi mana-mana anggota yang terlibat dalam salah laku atau perbuatan jenayah.

Terdahulu, Telegram Edisi Siasat memuat naik rakaman video dan mendakwa dua pekerja warga asing ditahan sebelum anggota polis terbabit membawa mereka masuk ke kawasan parkir di sebuah bangunan berdekatan.

“Anggota-anggota URB dan MPV ni tak serik-serik ‘paw’ pekerja asing sebab tu easy target dan easy money,” menurut kapsyen yang terpapar.

BACA JUGA Mudahnya dapat duit dari kerajaan Selangor, wajib rebut insentif tangkap ikan bandaraya ini