Tiga negeri ini saja hasilkan bayi mencukupi
Hanya penduduk di Terengganu, Kelantan, dan Pahang masih menghasilkan bayi yang mencukupi untuk mengekalkan populasi mereka dengan 2.5 anak per wanita melepasi paras penggantian iaitu 2.1.
Menurut Public Health Malaysia (PHM), negeri seperti Pulau Pinang dan Kuala Lumpur menunjukkan kadar kesuburan yang sangat rendah pada tahun 2022, dengan masing-masing 1.2 dan 1.4 anak per Wanita.
Menerusi perkongsian di laman Facebook, PHM memaklumkan populasi kelahiran bagi setiap wanita di Malaysia pada tahun 2022 telah menurun kepada 1.6 iaitu jauh di bawah paras penggantian.
Public Health Malaysia (PHM) berkata, jumlah tersebut jauh berbeza berbanding pada tahun 1980 iaitu 4.9 anak per wanita.
Jelasnya, bilangan anak yang terlalu rendah boleh menyebabkan penurunan populasi selain mengakibatkan peningkatan jumlah warga emas dan tekanan terhadap sistem sokongan sosial.
“Mungkin sudah tiba masanya untuk memikirkan semula dasar-dasar keluarga, sokongan kepada ibu bapa dan cara kita boleh mencipta persekitaran yang lebih mesra keluarga,” kata PHM lagi.
BACA JUGA Tular warga Bangladesh pakai kemeja-T PDRM, ini penjelasan IPD Barat Daya