Berapa kos dihabiskan Khairul Aming buat video masakan di New Zealand?
Nama personaliti media sosial, Khairul Aming terus menjadi sorotan media selepas dia mendapat penghormatan dikunjungi Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon di sebuah restoran di ibu kota, semalam.
Pertemuan itu sebagai tanda penghargaan dari pihak New Zealand untuk video percutian sambil memasak yang dihasilkan Khairul Aming di negara berkenaan.
Sementara itu di TikTok, usahawan muda itu mendedahkan dia telah berhabis sekitar RM80,000 sepanjang dia menghasilkan video masakan di New Zealand.
Jumlah itu merangkumi perbelanjaan untuk penginapan, makanan dan beberapa tempahan yang dibuat saat akhir.
Ujarnya, mereka banyak menghabiskan wang untuk tujuan penggambaran seperti menempah rumah inap yang cantik dan makanan yang agak mahal.
“First of all need to understand, KA pergi sana banyak habiskan dengan bahagian penggambaran. Maksudnya saya kena ambil home stay yang lawa, makanan kena beli yang mahal, dan kita orang banyak buat tempahan saat akhir.
“Jadi keseluruhan kita orang berbelanja untuk tiga orang adalah lebih kurang RM80,000. Tetapi kalau pergi sendiri tak semahal itu. KA pergi sebab pergi shooting,” katanya.
Dia berkata demikian ketika menjawab soalan pengikutnya yang bertanya jumlah kos dihabiskan untuk pengembaraannya selama beberapa hari di New Zealand.
Di ruangan komen, ramai mengatakan pelaburan anak kelahiran Kelantan itu amat berbaloi kerana ia kemudian “dibayar” dengan kunjungan Perdana Menteri New Zealand.
“Labur RM80,000 kemudian dapat kunjungan Perdana Menteri New Zealand, memang power dik! Tahniah, Alhamdulillah,” komen pengguna TikTok.
“Lepas ni confirm dapat tajaan untuk pelancongan,” komen yang lain.
“Nanti dapat balik berganda-ganda. Sekarang pun dah mula nampak kesannya. Nanti jadi duta untuk makanan Malaysia,” kata yang lain.
BACA JUGA Mahu bankrapkan perasuah, bos SPRM dedah jumlah yang berjaya dikembali kepada kerajaan
Â