Padah palsukan tuntutan Perkeso, tiga doktor kanan diheret ke mahkamah
Gara-gara memalsukan tuntutan hilang upaya Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), tiga doktor kanan di Pulau Pinang yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam dibawa ke Mahkamah Majistret pagi ini.
30 individu lain yang ditahan dalam kes sama juga dibawa ke mahkamah bagi mendapat perintah reman untuk membantu siasatan.
Dilaporkan, dua daripada doktor itu ditahan di Hospital Seberang Jaya, manakala seorang lagi di Hospital Bukit Mertajam.
Media melaporkan kemungkinan lebih ramai lagi doktor bersekongkol yang akan ditangkap.
Julai lalu, seorang Senator meminta penjelasan dari Kementerian Sumber Manusia berhubung penggantungan kerja beberapa doktor yang dikaitkan dengan kartel memalsukan permohonan Perkeso.
Senator itu, Dr RA Lingeshwaran yang juga bekas pengarah Hospital Sungai Bakap mendakwa kartel ketika ini sedang melobi supaya doktor yang digantung itu kembali bertugas di hospital sama.
Beliau mengingatkan Dewan Negara terdapat 683 pengeluaran palsu dari 2018 hingga 2022 melibatkan kira-kira RM43 juta, yang mana 16 melibatkan seorang doktor tertentu yang perkhidmatannya ditamatkan selepas terbongkar.
BACA JUGA ‘Power betul’, Murid SJKC nyanyi lagu Negaraku beserta rap buat ramai kagum