Anwar dapat jemputan Putin hadiri BRICS, sindiran pembangkang dulu terjawab
Tular kembali persoalan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal di Dewan Rakyat sebelum ini mengenai bila Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menemui Presiden Russia Vladimir Putin.
Pada 27 Jun lalu, Wan Fayhsal berkata, pintu utama yang perlu Perdana Menteri ‘ketuk’ ialah Moscow bukannya Brazil susulan hasrat kerajaan untuk menyertai kesatuan ekonomi dipelopori Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan (BRICS).
Terbukti PMX tidak cakap kosong apabila telah bersemuka dengan Putin berkongsi komitmen untuk memperkukuhkan hubungan dua hala serta bertukar pandangan mengenai peristiwa dunia.
Perdana Menteri memaklumkan bahawa Russia akan menjadi rakan utama yang berkongsi visi bagi pertumbuhan, kemakmuran dan pembangunan memandangkan Malaysia terus memperluaskan ruang geoekonomik dan mempelbagai hubungan strategiknya.
Malah, Putin menyampaikan jemputan secara peribadi kepada Anwar untuk menghadiri Sidang Kemuncak BRICS pada bulan depan, kata Perdana Menteri kepada media Malaysia hari ini.
Anwar berpendapat, jemputan tersebut mencerminkan keutamaan diberikan kepada Malaysia yang menjadi antara puluhan negara yang sudah memohon untuk menjadi ahli BRICS.
Ketika lawatan kerjanya dua hari ke Russia, Anwar menerima jemputan ke Sidang Kemuncak BRICS yang akan diadakan di Kazan, negara itu pada 22 hingga 24 Oktober depan.
Beliau yang juga Menteri Kewangan menyifatkan undangan peribadi Putin menunjukkan Malaysia antara negara yang diutamakan bagi potensi menganggotai BRICS.
Ia juga sekali gus menandakan langkah besar menuju matlamat akhir negara untuk menyertai organisasi berkenaan.
Sebagai balasan, Perdana Menteri turut mengundang Putin ke Sidang Kemuncak ASEAN bagi 10 negara Asia Tenggara yang akan dipengerusikan Malaysia, tahun hadapan.
Russia kini mempengerusikan BRICS yang dianggotai Brazil, India, China, Afrika Selatan, Iran, Mesir, Ethiopia dan Emiriah Arab Bersatu.
BRICS dianggap sebagai pesaing geopolitik utama kepada blok G7 yang terdiri daripada beberapa negara paling maju di dunia.
BACA JUGA Heboh insiden kerabat didakwa pukul bekas polis: Ini jaminan Tengku Mahkota Pahang