Heboh insiden kerabat didakwa pukul bekas polis: Ini jaminan Tengku Mahkota Pahang

Tengku Mahkota Pahang menegaskan bahawa baginda sesekali tidak akan melindungi mana-mana pihak termasuk kerabat yang terlibat dengan sebarang jenayah dan kesalahan undang-undang.

Menerusi kenyataan dikeluarkan Istana Abdulaziz hari ini, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah memandang serius mengenai insiden yang mengaitkan seorang kerabat Pahang bersama sekumpulan individu didakwa menyerang individu dikenali sebagai Alias Awang.

Baginda menegaskan semua pihak adalah sama di sisi undang-undang.

Justeru, Tengku Hassanal menyeru Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan penuh secara segera, telus dan adil tanpa sebarang kompromi kepada mana-mana pihak agar keadilan dapat ditegakkan.

“Sekiranya terdapat bukti kesalahan dilakukan, ia hendaklah dibawa ke mahkamah untuk dituduh dan dibicarakan,” titah baginda dalam kenyataan itu.

Terdahulu, seorang bekas anggota polis mendakwa dipukul dan diserang menggunakan pisau dan senjata api oleh sekumpulan lelaki termasuk anak seorang VVIP di sebuah kandang kuda di Kuantan, pada 6 Jun lalu.

Memetik Kosmo! Online, lelaki yang berusia 44 tahun itu berkata, beliau mengalami kecederaan di bahagian paha dan kaki kanan akibat serangan tersebut.

Beliau kemudiannya hadir ke Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Kuantan pada 8 Jun lalu bagi membuat laporan polis setelah mendapat rawatan bagi kecederaannya di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan.

Dalam kejadian yang berlaku antara pukul 12.20 tengah malam hingga 3 pagi itu, beliau menceritakan, pada awalnya dihubungi seorang lelaki yang memintanya hadir ke kandang kuda itu bagi membincangkan tentang pengambilan pengawal peribadi.

“Saya diminta untuk berjumpa di kandang itu pada pukul 12.30 tengah malam. Ketika itu saya sudah berasa pelik kerana seperti tidak ada waktu siang untuk melakukan perbincangan.

“Ketika sampai ke kandang kuda itu, saya telah ditarik ke dalam sebuah kabin dan diserang oleh lebih kurang 20 orang lelaki yang kesemuanya saya kenal, cuma ada yang saya tidak ingat nama,” katanya, lapor Kosmo! Online.

Mangsa yang kini berada di satu lokasi yang dirahsiakan demi keselamatannya berkata, beliau Ketika kejadian cuba melarikan diri tetapi telah dikepung sekumpulan lelaki terbabit.

“Berlaku pergaduhan sebelum anak VVIP itu bertindak melepaskan tembakan ke arah saya.

“Saya berjaya mengelak tembakan itu namun telah ditikam oleh seseorang lelaki di bahagian paha kanan,” katanya lagi.

Sementara itu, polis mengesahkan beberapa individu sudah ditahan berhubung kes terbabit dan telah dibebaskan dengan jaminan polis.

Dalam masa sama, beberapa saksi lain telah dipanggil untuk memberi keterangan, bagi membantu siasatan kes itu.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 324 dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan menggunakan senjata dan kerana merusuh.

BACA JUGA Nak buat ‘content’ di lokasi tanah jerlus Jalan Masjid India? Ini nasihat polis