PMX tepis kemungkinan kecaman dari negara lain jika Malaysia sertai BRICS

Datuk Seri Anwar Ibrahim menepis sebarang kemungkinan kecaman dari negara lain jika Malaysia menyertai kesatuan ekonomi dipelopori Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan (BRICS).

Perdana Menteri berkata, satu-satunya kebimbangan oleh negara lain mungkin adalah penyertaan dalam kumpulan yang diketuai Russia itu boleh menjejaskan hubungan diplomatik dan ekonomi.

“Mungkin ada kebimbangan bahawa BRICS akan memberi kesan negatif kepada hubungan dengan negara lain. Saya tidak fikir akan ada (kecaman),” katanya.

Anwar berkata demikian bersama media Malaysia ketika mengadakan lawatan kerja dua hari sempena Forum Ekonomi Timur Kesembilan (EEF 2024) di kampus Far Eastern Federal University (FEFU), hari ini.

Dalam masa sama, beliau yang juga Menteri Kewangan melihat peluang Malaysia untuk diterima sebagai ahli BRICS sebagai positif.

Ia susulan perbualan dengan Perdana Menteri China, Li Qiang; Perdana Menteri India, Narendra Modi; Putin dan Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva.

Pada 28 Julai lalu, Anwar berkata, Malaysia menghantar permohonan kepada Russia untuk menyertai BRICS susulan kunjungan hormat yang dibuat oleh Menteri Luar Russia, Sergey Lavrov.

BRICS yang kini dipengerusikan Russia dianggap sebagai pesaing geopolitik utama kepada blok G7 yang didirikan pada 1975.

Untuk rekod, G7 terdiri daripada Amerika Syarikat, Jerman, England, Perancis, Jepun, Kanada dan Itali, serta Kesatuan Eropah.

Pemerhati politik menyifatkan penyertaan Malaysia dalam BRICS yang bukan berasaskan pertahanan atau keselamatan itu penting bagi memastikan negara tidak berpaksikan kuasa tunggal atau unipolar.

BACA JUGA Anwar dapat jemputan Putin hadiri BRICS, sindiran pembangkang dulu terjawab