Nak buat ‘content’ di lokasi tanah jerlus Jalan Masjid India? Ini nasihat polis
Sesiapa yang ingin buat ‘content’ di lokasi tanah jerlus Jalan Masjid India, boleh saja melupakan hasrat itu.
Polis Kuala Lumpur sudah meminta orang ramai untuk tidak mendekati lokasi tersebut berikutan kerja-kerja pemulihan masih dilaksanakan.
“Tanggungjawab polis untuk melakukan kawalan keselamatan.
“Jadi, kita tidak mahu orang ramai meninjau atau membuat kandungan di media sosial di lokasi itu.
“Kehadiran anggota polis bagi mengawal lokasi tanah jerlus. Kesan tanah jerlus itu kira-kira lapan hingga 10 meter. Kita tidak mahu apa-apa terjadi di lokasi tersebut,” tegasnya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur hari ini.
Rusdi menasihatkan orang awam agar tidak meninjau lokasi kejadian yang meragut nyawa wanita warga India, G Vijaya Lakshmi pada 23 Ogos lalu.
Nasihat itu, jelasnya, bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.
“Bukan setakat lubang itu (tanah jerlus), ada lagi lubang kedua (mendapan 50 meter dari lokasi) serta saluran panjang akan diperiksa.
“Kita juga tidak mahu orang ramai pergi meninjau dan buat TikTok.
“Lebih baik saya arahkan KPD (Ketua Polis Daerah) Dang Wangi untuk menempatkan anggota di situ,” tambahnya lagi.
Tragedi tanah jerlus 23 Ogos lalu menyaksikan G Vijaya Lakshmi terjatuh ke lubang sedalam lapan meter.
Selepas sembilan hari operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa, usaha tersebut akhirnya dihentikan lantaran risiko tinggi kepada anggota pasukan dan keselamatan kawasan di sekitar lokasi tersebut.
BACA JUGA Tahniah penyokong Pas, rakyat Kedah akhirnya dapat ‘mak’ baru