OPR kekal tiga peratus, ekonomi terus kukuh

Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini membuat keputusan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada tiga peratus.

Menerusi kenyataan, BNM memaklumkan ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.1 peratus pada separuh pertama tahun 2024.

Menurut BNM, penunjuk terkini mencatatkan kegiatan ekonomi yang terus kukuh, didorong oleh perbelanjaan dalam negeri yang berdaya tahan dan aktiviti eksport yang lebih giat.

Bank pusat menyifatkan pada masa hadapan eksport dijangka terus disokong oleh peningkatan kitaran teknologi global.

Jelasnya, ia berikutan kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan semikonduktor serta eksport barangan bukan elektrik dan elektronik (E&E) yang terus kukuh.

“Perbelanjaan pelancong dijangka terus meningkat. Pertumbuhan guna tenaga dan upah berserta langkah-langkah dasar masih terus menyokong perbelanjaan isi rumah.

“Pengembangan mantap aktiviti pelaburan akan berterusan disebabkan oleh projek berbilang tahun dalam sektor swasta dan awam, pelaksanaan inisiatif pemangkin di bawah beberapa pelan induk nasional serta lebih banyak pelaksanaan pelaburan yang telah diluluskan,” menurut BNM.

BACA JUGA ‘Malaysia akan meneruskan usaha teroka minyak, gas asli biarpun dibantah China’