Fahmi muncul sohor kini, ini penjelasan mengenai sekatan DNS
Nama ‘Fahmi’ muncul sohor kini di laman X dengan lebih 4,500 hantaran setakat 11.30 malam ini menyebut nama berkenaan.
Semakan mendapati rekod trending itu susulan keputusan kerajaan mewajibkan semua penyedia perkhidmatan internet (ISP) menggunakan pengalihan perkhidmatan nama domain awam (DNS) menjelang akhir bulan ini.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, kerajaan tidak menyekat kebebasan bersuara sebaliknya sekatan itu bagi menghalang akses ke laman web berbahaya terutama melibatkan pornografi dan perjudian dalam talian.
“Kita perlu tahu puncanya apabila pihak MCMC mengenakan sekatan terhadap sejumlah laman web termasuk laman web pornografi dan web judi dalam talian yang terlalu banyak.
“Apa yang kita dapati, ada beberapa pengendali servis internet yang masih membolehkan orang ramai mengakses web terbabit,” katanya.
Fahmi berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Kita FM dan Dana Pencipta SYOK, di Shah Alam hari ini.
Beliau yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, rayuan boleh dibuat kepada tribunal bebas yang beroperasi di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) yang dipengerusikan seorang hakim Mahkamah Tinggi jika ada pengendali laman web yang mendapati laman mereka disekat secara salah.
Dalam masa sama, Fahmi turut memaklumkan kerajaan tidak berhasrat mengenakan sebarang sekatan atau merangka dasar membabitkan pencipta kandungan audio siar.
Menurutnya, pihak berkuasa boleh mengambil tindakan mengikut undang-undang sedia ada jika terdapat kandungan yang menimbulkan kegusaran awam.
“Sebagai pengguna, kita mungkin merasakan terdapat lambakan kandungan, ia secara semula jadi disebabkan oleh kuasa pasaran, orang akan mendengar kandungan yang mereka minati.
“Buat masa ini, kita tidak akan campur tangan dan saya tidak melihat hal ini sebagai satu masalah.
“Kita tidak berhasrat melakukan sekatan terhadap mereka kerana peraturan sedia ada dianggap sudah mencukupi,” ujarnya.
Sehubungan itu, Fahmi menyarankan mereka yang ingin terlibat dalam bidang audio siar perlu memastikan kandungan yang dimuat naik mempunyai nilai intelektual agar ia mendorong kerajaan untuk terus membantu mereka pada masa akan datang.
BACA JUGA Raih emas kedua di Paralimpik Paris 2024, Fahmi anggap Bonnie luar biasa