Ini jumlah sumbangan ihsan diterima keluarga mangsa tanah jerlus Masjid India
Rupanya keluarga warganegara India yang hilang dalam insiden tanah jerlus di Masjid India, Kuala Lumpur dua minggu lalu menerima sumbangan ihsan RM30,000 .
Wang tersebut diserahkan secara tunai kepada keluarga mangsa sehari selepas kerajaan mengambil keputusan untuk menamatkan operasi mencari dan menyelamat (SAR), lapor Astro Awani memetik Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif.
Sumbangan ihsan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu diserahkan kepada keluarga G Vijaya Lakshmi sebelum berlepas ke negara mereka pada 1 September lalu.
“Ingin saya jelaskan di sini, ini bukan pampasan.Ini adalah sumbangan ihsan daripada DBKL kepada keluarga mangsa,” katanya hari ini, lapor Astro Awani.
Pada 23 Ogos lalu wanita berusia 48 tahun berasal dari Kuppam, Andhra Pradesh, India itu hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter di Jalan Masjid India.
Sembilan hari kemudian, selepas mendapat pandangan daripada sudut pakar, kerajaan memutuskan untuk menamatkan operasi SAR selama sembilan hari yang bermula pada 23 Ogos.
BACA JUGA ‘Abang Bas’ kena reman lima hari akibat ‘crush’ murid sekolah rendah