PM Anwar bangga kejayaan Bonnie
Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Jaguh powerlifting para negara, Bonnie Bunyau Gustin yang menyumbang pingat emas kedua buat negara di Sukan Paralimpik Paris 2024.
Menerusi hantaran di aplikasi X, Perdana Menteri berkata, beliau turut berbangga dengan pencapaian Bonnie yang berjaya melakar sejarah baharu dengan memecahkan rekod dunia.
“Kita beroleh pingat emas kedua di #Paralympic2024 dan lebih membanggakan, saudara Bonnie Bunyau berjaya memecahkan rekod dunia!!
“Tahniah! Pencapaian saudara luar biasa!,” katanya di sini tadi.
Bonnie, 25, meraih pingat emas bagi kategori 72 kilogram (kg) setelah berjaya melakukan angkatan 232kg pada angkat ketiga sekali gus memadam rekod dunia miliknya iaitu 231 kg.
Atlet kelahiran Sarawak tersebut berjaya mempertahankan pingat emas yang dimenanginya pada edisi Tokyo 2020 sekali gus menjadikannya pemenang pingat emas berganda Sukan berprestij dunia itu.
BACA JUGA Raih emas kedua di Paralimpik Paris 2024, Fahmi anggap Bonnie luar biasa