Rakaman Taufan Yagi mengganas tersebar, gerun tengok kelajuannya
Sejumlah klip rakaman Taufan Yagi mengganas tersebar di media sosial sekaligus mengundang rasa gerun orang ramai melihatkan kelajuannya yang dilapor melebihi 234 kilometer (km) sejam.
Taufan Yagi melanda kawasan pantai di perkampungan Wengtian, Bandar Wenchang pada jam 4.20 petang waktu tempatan, menurut ibu pejabat pengurusan kecemasan wilayah.
Lapor Agensi, seramai 419,367 penduduk dipindahkan dari Hainan menjelang tengah hari tadi, ketika taufan Yagi menghampiri wilayah terbabit.
Taufan ke-11 tahun ini yang membadai wilayah Hainan di selatan China itu membawa hujan lebat di kebanyakan Kawasan.
Sementara itu, bahagian utara Hainan dilanda angin kencang manakala beberapa bandar dan daerah mengalami gangguan bekalan elektrik.
Biro meteorologi wilayah memaklumkan, Taufan Yagi dijangka bergerak menuju Haikou serta daerah Chengmai dan Lingao, sebelum ke Teluk Beibu pada pagi esok.
Turut dimaklumkan bahawa paras air laut dijangka naik 150 hingga 230 sentimeter (cm) di kawasan pantai utara Pulau Hainan, manakala Haikou dijangka mengalami banjir besar akibat ribut dan hujan lebat.
Selepas melanda selatan China, Taufan Yagi diramalkan menuju ke Vietnam dengan dijangka membadai wilayah-wilayah di utara dan utara-tengah sekitar Halong Bay, esok.
Puluhan ribu penduduk dijadual dipindahkan ke kawasan lebih selamat di wilayah Hai Phong dan Thai Binh, hari ini.
Menurut ketua pihak berkuasa pengurusan bencana, Pham Duc Luan, taufan kali ini dijangka menjadi taufan paling kuat membadai utara Vietnam dalam tempoh dua dekad.
BACA JUGA Ini jumlah sumbangan ihsan diterima keluarga mangsa tanah jerlus Masjid India