Tengku Hassanal tunjuk contoh kerabat diraja juga tidak terlepas undang-undang
Pengerusi Pakatan Harapan Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah mengalu-alukan dan menyambut baik tindakan Tengku Mahkota Pahang yang menggesa pihak polis menyiasat insiden mengaitkan seorang kerabat Pahang didakwa menyerang orang awam.
Raja Kamarul berkata, kenyataan yang dikeluarkan hanya selepas beberapa jam kes itu dilaporkan, menunjukkan betapa Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah memandang serius serangan tersebut.
Menurutnya, kenyataan Tengku Hassanal bukanlah satu tindakan terpencil dalam menunjukkan keprihatinan terhadap rakyat, kerana Tengku Hassanal telah membuat banyak kenyataan sebelum ini mengenai isu-isu yang melibatkan pembelaan nasib rakyat jelata.
“Beliau dengan jelas sedang menunjukkan contoh kepada ahli keluarga diraja tentang bagaimana sepatutnya mereka berkelakuan.
“Seperti yang dinyatakan dengan tegas dalam kenyataannya, “Tiada siapa yang mengatasi undang-undang, walaupun ahli keluarga diraja”.
“Latar belakang pendidikan yang mantap serta didikan moral yang teguh telah memberikan Tengku Hassanal kebijaksanaan dan keberanian untuk menyuarakan isu-isu berkaitan kepentingan umum dan rakyat jelata. Ini juga mengikuti tradisi keluarga,” katanya dalam satu kenyataan kepada Harapan Daily hari ini.
Terdahulu, Tengku Hassanal menyeru Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan penuh secara segera, telus dan adil tanpa sebarang kompromi kepada mana-mana pihak agar keadilan dapat ditegakkan.
Ia susulan insiden yang mengaitkan seorang kerabat Pahang bersama sekumpulan individu didakwa menyerang individu dikenali sebagai Alias Awang.
Baginda menambah semua pihak adalah sama di sisi undang-undang
Baginda juga sesekali tidak akan melindungi mana-mana pihak termasuk kerabat yang terlibat dengan sebarang jenayah dan kesalahan undang-undang.
Terdahulu, sebuah portal berita melaporkan seorang pekerja pembinaan dan penyelenggaraan jalan, mendakwa cedera selepas diserang seorang kerabat diraja dan beberapa individu menggunakan senjata tajam dan pistol.
Akibat serangan itu, lelaki itu dilaporkan cedera di paha dan menerima beberapa jahitan serta luka di bahagian kaki.
BACA JUGA Ustaz Pas tak jiwai Malaysia MADANI berderet ‘cari makan’ di TV AlHijrah