Ustaz Pas tak jiwai Malaysia MADANI berderet ‘cari makan’ di TV AlHijrah
Penceramah yang secara terbuka menyokong Pas malah pernah menduduki jawatan dalam parti itu sekaligus memusuhi kerajaan MADANI dilihat masih berderet ‘cari makan’ di TV AlHijrah.
Sejak Datuk Seri Anwar Ibrahim mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri ke-10 pada 24 November 2022, ‘Ustaz Pas’ tetap berpeluang bersiaran di stesen TV dikendalikan Al-Hijrah Media Corporation iaitu syarikat di bawah bidang kuasa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu.
Pagi Jumaat 2 Rabiulawal 1446H ini contohnya, sekurang-kurangnya dua Ustaz Pas muncul secara langsung di stesen yang bersiaran dari ibu pejabatnya di Kompleks Pusat Islam, Jalan Perdana, Kuala Lumpur itu.
Kedua-duanya memohon sumbangan penonton selain memberikan ceramah agama berdasarkan tajuk masing-masing.
Hampir pukul 8 pagi tadi, TV AlHijrah memberi ruang kepada Jafri Abu Bakar Mahmoodi yang pernah mendoakan kemenangan Perikatan Nasional (PN) semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, Julai lalu.
Jafri yang telah memimpin doa bagi memohon kemenangan calon PN, Abidin Ismail merupakan Pengerusi Kompleks Islam Dar Al Faizin (Kidaf) di Kedah.
“Ya Allah, Kau berikanlah kejayaan kepada persatuan kami. Ya Allah, berikanlah kejayaan kepada perhimpunan kami, kepada perikatan kami Ya Allah.
“Ya Allah, jauhkanlah kami dari ancaman-ancaman musuh.
“Ya Allah, gagalkan perancangan musuh terhadap kami, Ya Allah,” doa Jafri lagi, dalam satu klip di akaun TikTok Pas Cawangan Bertam Putra dengan kapsyen “Doakan Kemenangan Perikatan Nasional Esok (6 Julai).”
Pagi ini, menerusi stesen TV di bawah seliaan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Islam) itu, Ustaz Pas berkenaan memberi ceramah bertajuk, “Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW”.
Dalam masa sama, Jafri semestinya menyelitkan seruan agar penonton saluran televisyen Islam percuma milik kerajaan itu menghulurkan sumbangan bagi dana pengurusan dan penambahbaikan Masjid Nur Muhammad, Kidaf.
Slot kemudiannya diisi dengan kemunculan Syed Abdul Kadir Al Joffre yang pernah dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM).
Mengisi segmen bertajuk, “Asnaf Menderita, Kita Di Mana?”, ustaz Pas tersebut bercakap bagi pihak Yayasan Mihrab.
Dilihat sama ‘modus operandi’ berceramah sambil merayu derma seperti Jafri, Syed Abdul Kadir juga memohon sumbangan daripada penonton.
Serentak rayuan dana itu, terpapar nombor akaun bank atas nama “Pemegang Amanah Yayasan Mihrab” berserta maklumat termasuk laman web, media sosial dan nombor telefon untuk dihubungi.
Semakan Harapandaily mendapati selain Yayasan Mihrab, Syed Abdul Kadir dalam makluman dibuatnya pada 2022 turut terlibat dalam 16 lagi pertubuhan atau entiti.
Pemerhatian juga mendapati sepanjang bersiaran langsung di TV AlHijrah, kedua-dua ustaz Pas berkenaan sama sekali tidak menyelitkan tentang gagasan MADANI dalam ceramah agama merangkap memohon derma itu.
Dilihat sebagai tidak menjiwai apa lagi menterjemahkan sekelumit nilai MADANI era pentadbiran kerajaan diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim kini dalam ceramah mereka, kemungkinan terlepas pandang atau terlupa bukan alasan yang mudah diterima.
Ini memandangkan negara masih dalam semangat menuju Hari Malaysia selepas baru sahaja meraikan Hari Kebangsaan dengan tema “Jiwa Merdeka”.
BACA JUGA 4 sebab pembangkang patut cermin diri sebelum mengata PMX