Wan Fayhsal ‘claim’ dah sebut tiga bulan lepas apa yang PMX utarakan
Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal memberitahu dia sudah membangkitkan apa yang Perdana Menteri utarakan di Russia sejak tiga bulan lalu.
Bahkan, Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, dia lebih banyak lagi cadangan berkaitan polisi dan ekonomi membabitkan Russia.
“Alhamdulillah, apa PMX utarakan semalam di Vladivostok, saya telah utarakan hal yang sama 3 bulan lalu di St. Petersburg.
“Malah, lebih banyak lagi cadangan dasar dan polisi yang dapat tingkatkan nilai perdagangan dan hubungan dua hala antara Malaysia-Russia; juga ASEAN-BRICS,” tulisnya di platform X.
Wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) yang digantung selama enam bulan daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat itu turut berkongsikan sedutan rakaman video mengenai pendapatnya pada 8 Jun lalu.
Susulan itu, rata-rata warganet menempelak kenyataan Wan Fayhsal selain mengingatkan kedudukan dirinya yang hanya ahli parlimen pembangkang.
Antaranya, @nizam_musa menulis, “Kau (Wan Fayhsal) cakap tiada siapa kisah pun. PMX cakap dalam EEF (Forum Ekonomi Timur) di depan puluhan wakil negara.”
Malah, Nizam secara menyindir menyebut tentang Rusila yang dikenali sebagai kubu kuat Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
“… dah semestinya PMX akan promosikan negara walau di mana sahaja dia pergi termasuk Rusila… oppsss..! Russia.. Jadi, jangan perasan sangatlah,” katanya lagi.
Semalam, Perdana Menteri menjelaskan lawatan kerja dua hari ke Russia membuka ruang perbincangan cukup luas dan produktif antara beliau dan rakan sejawatnya, Vladimir Putin.
Datuk Seri Anwar Ibrahim juga memberitahu bahawa Putin mengundangnya secara peribadi menghadiri Sidang Kemuncak BRICS iaitu organisasi antara kerajaan Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan di Kazan, pada 22 hingga 24 Oktober ini.
BACA JUGA ‘Abang Bas’ kena reman lima hari akibat ‘crush’ murid sekolah rendah